Taktik 'call centre' di rumah mewah terbongkar

Seramai 18 lelaki dan empat wanita dipercyai ahli sindiket penipuan tawaran kerja ditahan. Foto PDRM
Seramai 18 lelaki dan empat wanita dipercyai ahli sindiket penipuan tawaran kerja ditahan. Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik 'scammer' menjadikan kediaman mewah sebagai pusat panggilan gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas premis berkenaan digempur polis dalam operasi di Jalan Bakung, Taman Bandaraya di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjadikan premis berkenaan sebagai pusat panggilan untuk kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian sejak tiga bulan lalu.

"Polis menahan 18 lelaki dan empat wanita terdiri daripada 21 warganegara tempatan dan seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan itu.

Telefon bimbit dan komputer riba pelbagai jenama yang dirampas semasa serbuan tersebut. Foto PDRM
Telefon bimbit dan komputer riba pelbagai jenama yang dirampas semasa serbuan tersebut. Foto PDRM

"Turut dirampas 96 unit telefon telefon bimbit dan 20 set komputer pelbagai jenama," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Amihizam berkata, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan berwaspada untuk mengelak daripada menjadi mangsa penjenayah berkenaan.

"Sebarang maklumat bolelah disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," ujarnya.