Malaysia sambut baik potensi kerjasama dengan Qatar: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, pada Jumaat. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menyambut baik potensi kerjasama dengan Qatar dalam pelbagai bidang seperti bahagian tenaga, minyak dan gas serta sektor perumahan dan pembangunan infrastruktur.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia dan Qatar juga mampu membangunkan strategi sekuriti makanan menerusi kerjasama antara Baladna Food Industries dengan FGV Holdings Bhd dalam pembangunan ladang lembu tenusu di Chuping, Perlis dan di Pahang tidak lama lagi.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata beliau menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani di pejabatnya di Putrajaya pagi Jumaat.

Ismail Sabri berkata, pertemuan itu adalah susulan lawatan rasmi pertama beliau ke Qatar pada Mac lepas.

"Perbincangan yang diadakan hari ini diharap mampu meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan merangka hala tuju mengenai pelbagai isu kepentingan bersama,” katanya.

Pada pertemuan itu, Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan penghargaan atas sumbangan USD50 juta melalui Dana Qatar untuk Pembangunan (QFFD) bagi kebajikan pelarian Rohingya di Malaysia terutama dalam bidang kesihatan dan pendidikan.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Qatar yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Lawatan rasmi dua hari Sheikh Mohammed ke Malaysia, yang bermula semalam (Khamis) antara lain adalah sebagai persiapan awal untuk Lawatan Negara oleh Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani ke negara ini pada 2023. - Bernama