Syor UMNO-Pas wujudkan Kerusi Muafakat Nasional

Mohd Zuhdi
Mohd Zuhdi
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemimpin Pas berpandangan terdapat 27 kerusi yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) di Semenanjung sekiranya UMNO dan partinya bertembung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, disebabkan itu UMNO dan Pas perlu kembali ke meja rundingan bagi membincangkannya dan memastikan kedua-dua parti tidak bertembung satu sama lain.

Beliau turut mencadangkan kerusi-kerusi ini dinamakan Kerusi Muafakat Nasional bagi mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh bahtera besar Muafakat Nasional.

"Di dalam PRU14, 20 daripada 27 kerusi ini terlepas ke tangan PH sehingga PH menguasai kerajaan selepas pilihan raya tersebut. Manakala tujuh daripada 27 kerusi tersebut sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH kali ini disebabkan PH kalah tersangat tipis di dalam PRU14 yang lalu.

"Mahu tidak mahu, UMNO dan Pas tidak boleh bertembung di kerusi-kerusi itu. Saya mencadangkan kerusi-kerusi ini dinamakan 'Kerusi Muafakat Nasional' iaitu mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh bahtera besar Muafakat Nasional," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Mohd Zuhdi menambah, adalah lebih baik di Kerusi Muafakat Nasional ini kedua-dua parti boleh membentuk jentera bersama supaya calon terbabit boleh menang dengan selesa.

"Diyakini cadangan mewartakan 27 kerusi sebagai Kerusi Muafakat Nasional boleh dipersetujui oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang lain.

"Sebaliknya, ia pasti akan menjadi mimpi ngeri kepada PH disebabkan peluang untuk mereka menang di kerusi-kerusi itu menjadi malap.

"Menjelang tiga tahun penubuhan Muafakat Nasional, pastinya ummah merasa lega sekiranya 27 kerusi ini dapat diselamatkan dan seterusnya PH akan gagal menguasai Malaysia sekali lagi," jelasnya.