Rayuan Najib dapatkan dokumen bank didengar 25 Oktober

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Jumaat bagi perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Jumaat bagi perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 25 Oktober untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan dokumen bank melibatkan bank pelaburan Amerika Syarikat Goldman Sachs dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan pengurusan kes yang diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron, pada Jumaat.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib apabila dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan pada 25 Oktober.

Pada Khamis, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk P. Ravinthran mengarahkan pengurusan kes itu diadakan hari ini selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan.

Pada prosiding Khamis, peguam Effa Azuin Aidrul Hisham, seorang daripada peguam Najib, memohon mahkamah menangguhkan pendengaran rayuan itu selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak sihat kerana demam.

Bekas perdana menteri itu dalam usaha mendapatkan dokumen bank untuk digunakan dalam perbicaraannya membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai tahun lepas yang menolak dua permohonan penemuannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Najib memfailkan perintah mahkamah pada 24 Mac tahun lepas untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDBnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pekan itu juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lepas untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kesnya masih berjalan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. - Bernama