Benarkan tambahan pekerja asing untuk industri sarang burung walet

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Kerajaan bersetuju untuk membenarkan pengambilan pekerja asing tambahan bagi industri sarang burung walet, khusus bagi pemprosesan sarang burung walet mentah bersih bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja dihadapi industri berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kebenaran itu diberikan setelah mengambil kira potensi industri itu yang mempunyai permintaan pasaran tumpuan yang khusus.

Bagaimanapun menurutnya kebenaran itu diberikan bergantung kepada kapasiti pengeluaran tahunan sesebuah syarikat, tertakluk kepada syarat pengambilan pekerja asing yang berkuat kuasa dan syarikat mestilah terlebih dahulu berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

"Sehingga 31 Disember tahun lepas, industri sarang burung walet telah menggaji 2,213 pekerja yang meliputi 1,073 pekerja tempatan dan 1,140 pekerja asing.

"Berdasarkan senarai permohonan yang diterima daripada pemain industri, sektor ini memerlukan tambahan pekerja lebih daripada 2,000 orang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan sistem MyWalet untuk kegunaan pengusaha sarang burung walet tempatan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, pada Jumaat.

Ronald berkata, jika industri berkenaan terus mengalami kekurangan pekerja, ia bakal memberi kesan kepada kuantiti dan kualiti produk yang dihasilkan, dan secara tidak langsung akan menjejaskan eksport sarang burung walet yang mempunyai nilai eskport RM1.8 bilion tahun lepas.

"Sasaran pendapatan negara untuk pasaran eksport adalah 350,000 kilogram (kg) dengan anggaran nilai berjumlah RM2.8 bilion menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata pihak kementerian dan industri akan terus merangka program-program peningkatan kemahiran pekerja tempatan bagi menarik minat mereka untuk bekerja dalam industri itu, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Sementara itu Ronald berkata sistem MyWalet yang dilancarkan hari ini adalah satu sistem pendaftaran sepanjang rantaian industri sarang burung walet dalam negara bermula daripada perladangan sarang burung walet sehingga ke peringkat eksport.

"Oleh itu, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan penggunaan tenologi berasaskan IR4.0, sistem MyWalet ini menggunakan teknologi blockchain bagi memastikan sistem ini lebih selamat dan mesra pengguna khususnya bagi pengusaha walet seluruh negara,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Dr Norhaliza Abdul Halim berkata sistem MyWalet yang dibangunkan secara kerjasama antara DVS dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) mampu meningkatkan daya jejak sarang burung.

Beliau berkata sistem itu juga memudahkan penembusan pasaran produk sarang burung yang dieksport ke negara lain, antaranya China, memandangkan sebahagian besar industri negara itu telah menggunakan teknologi blockchain.

"Pengimport dari negara China memerlukan kita bukan sahaja membuat pemeriksaan menyeluruh proses pengambilan sarang burung walet sehingga ke kilang pemprosesan, tetapi juga meningkatkan daya jejak sarang burung, sekali gus memastikan produk sarang burung dari negara ini adalah produk tulen.

"Dengan sistem ini, setiap produk sarang burung yang dieksport akan mempunyai kod QR yang membolehkan pengimport untuk mengesan balik setiap peringkat pemprosesan yang dilalui, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka terhadap produk dari Malaysia," katanya ketika ditemui Bernama. - Bernama