Data iPay88 diceroboh, siasatan forensik dijalankan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pencerobohan data syarikat penyedia perkhidmatan gerbang pembayaran, iPay88 (M) Sdn Bhd berpunca daripada sistem pembayaran kad itu dan ia tidak melibatkan kelemahan dalam sistem institusi perbankan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa siasatan forensik masih dijalankan.

BNM menambah, institusi kewangan di negara ini juga mengamalkan kaedah pengesahan yang mantap bagi transaksi kad secara dalam talian termasuk memaklumkan pemegang kad dengan segera untuk pengesahan lanjut apabila terdapat transaksi yang dianggap lebih berisiko.

“Oleh itu, hal ini mengurangkan risiko berlakunya penipuan transaksi.

“Bagi transaksi yang tidak menggunakan pengesahan khususnya pembelian daripada peniaga di luar negara, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan untuk sebarang penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran yang mungkin terjadi susulan insiden ini,” katanya.

Ujarnya berikutan insiden berkenaan, BNM telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad terlibat mengenai langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran.

“Bank-bank turut mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau aktiviti yang mencurigakan atau aktiviti penipuan yang menggunakan kad-kad terlibat.

”BNM memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Ini bagi memastikan kawalan keselamatan yang kukuh dilaksanakan dan diamalkan oleh institusi kewangan serta memastikan pelanggan mendapat layanan secara adil,” katanya.

Jelasnya lagi, pelanggan dinasihatkan untuk segera memaklumkan kepada bank mereka jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan atau transaksi tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka.

Bagi maklumat lanjut atau aduan, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK melalui 1-300-88-5465 atau https://telelink.bnm.gov.my/


Ekonomi Malaysia tumbuh lebih kukuh 8.9 peratus pada suku kedua

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 susulan permintaan domestik yang kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan.

Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyifatkan peningkatan pertumbuhan itu mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.

"Eksport terus disokong oleh permintaan kukuh bagi produk elektrikal dan elektronik (E&E). Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan,” kata BNM.

Menurut bank pusat itu, walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat disebabkan sebahagiannya oleh asas rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021, pertumbuhan bagi April dan Mei 2022 sebaliknya menunjukkan prestasi yang kukuh.

"Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada suku pertama 2022,” katanya.