Lindung, pulihara habitat gajah perlu usaha semua pihak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak diseru berganding bahu dalam usaha melindungi dan memulihara habitat gajah yang dikategori sebagai hidupan liar dilindungi sepenuhnya di dalam negara demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata berdasarkan rekod Jabatan Perhilitan, sebanyak 3,325 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan dari 2015 hingga 2021, manakala sepanjang tahun ini setakat Jun lepas, sebanyak 435 aduan serupa dilaporkan.

"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhilitan memandang serius keperluan memastikan kelangsungan hidup gajah serta komited dalam mempergiatkan usaha konservasi gajah dan habitatnya,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Gajah Sedunia hari ini.

Beliau berkata terdapat dua subspesies gajah di Malaysia iaitu Elephas maximus indicus yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan Elephas maximus borneensis (Gajah Pygmy) yang terdapat di Sabah dengan masing-masing memerlukan kawasan keliaran antara 10 hingga 250 kilometer persegi.

Dari segi populasi, beliau berkata terdapat kira-kira 1,220 hingga 1,680 gajah di Semenanjung Malaysia dengan taburan populasi di tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Takiyuddin berkata berdasarkan laporan Elephant Trade Information System (ETIS) tahun ini, Malaysia dikategorikan dalam Kategori B markedly affected by illegal trade in ivory, kedudukan lebih baik berbanding 2019 apabila Malaysia dikategorikan sebagai negara kategory A primary concern.

Dalam usaha melindungi populasi haiwan itu, beliau berkata antara tindakan kerajaan ialah mengukuhkan keberkesanan perundangan dengan meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.

Selain itu, bagi menangani konflik manusia dan gajah, usaha dilakukan termasuk menubuhkan pusat konservasi gajah di Pahang, Terengganu dan Johor; menjalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah secara pemasangan kolar satelit dan membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG).

Di peringkat antarabangsa pula katanya, Malaysia serius dalam melaksanakan tindakan di bawah Pelan Tindakan Gading Kebangsaan (NIAP) sebagai komitmen untuk membanteras rangkaian perdagangan haram gading gajah. - Bernama