SPRM perlu telus tanpa lindungi sesiapa

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijalankan secara telus tanpa unsur melindungi sesiapa.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia memandangkan integriti SPRM dipersoalkan banyak pihak sehingga Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa memberikan arahan supaya siasatan yang lebih menyeluruh disegerakan.

Menurutnya, SPRM sepatutnya berfungsi secara bebas tanpa memerlukan arahan daripada Perdana Menteri.

“Bagi saya, ini satu perkara yang sangat menjelikkan dan tidak seharusnya berlaku. Tapi tindakan untuk menyegerakan siasatan itu adalah tepat.

“Cuma dalam soal ini, kita nak tahu sejauh mana kejujuran PM, sama ada siasat secara telus atau ada unsur nak melindungi.

“Saya harap SPRM perlu lebih bebas dan PM juga harus telus dengan kenyataannya dan tidak mengganggu gugat.

“Saya minta SPRM sepatutnya tidak perlu tunggu dalam kes besar sebegini yang membabitkan pengurusan dan pentadbiran pimpinan kerajaan kerana memang itu peranan mereka sebagai badan bebas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mahfuz turut menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi melihat kepada keseluruhan masalah perolehan kerajaan.

“Siasatan SPRM dan RCI perlu berjalan serentak. SPRM mesti menumpukan kepada isu LCS ini manakala RCI pula bagi melihat keseluruhan masalah perolehan kerajaan dalam Kementerian Pertahanan.

“Seterusnya jika ada bukti kukuh, mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.