MAHA 2022: 26 MoU dimeterai, nilai pelaburan lebih RM5 bilion

SERDANG - Sebanyak 26 memorandum persefahaman (MoU) melibatkan nilai pelaburan lebih RM5 bilion ditandatangani sejak berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada Khamis lepas.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya menyasarkan nilai pelaburan melalui MoU melebihi RM6 bilion sepanjang penganjuran MAHA 2022 yang akan berakhir Ahad ini.
"Kita jalin MoU dengan entiti perniagaan sama ada dalam negara dan luar negara, yang terbesar adalah pelaburan dalam industri ternakan lembu antara pengusaha dari Timur Tengah bersama pemain industri tempatan berkaitan ternakan lembu di Chuping, Perlis yang dijangka menjana pulangan lebih daripada RM4 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada program Wacana Dr Radzi Jidin Ekplorasi Dunia Pertanian sempena MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis.