'Kami ada subjek Tatarakyat'

Dr Shaharum (kiri) menerima cenderahati daripada Nurhayati dan Wan Normi.
Dr Shaharum (kiri) menerima cenderahati daripada Nurhayati dan Wan Normi.
A
A
A

KUBANG KERIAN - Subjek Tatarakyat dalam pendidikan pada era 1980-an benar-benar memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cara hidup pelbagai kaum di negara ini.

Pengarah Kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Shaharum Shamsuddin memberitahu, subjek itu penting kerana Malaysia berbilang bangsa yang membawa kepada perpaduan nasional.

"Dulu kami ada subjek Tatarakyat. Kita belajar bukan sahaja untuk ilmu tetapi menjadi sebagai satu keperluan dalam kehidupan sesuai masyarakat berbilang kaum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Kunjung Hormat Pasukan Rasuah Busters ke Kampus USM Kubang Kerian pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dan Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan.

Justeru katanya, jika negara serius untuk menghapuskan rasuah, perkara sama perlu dilaksanakan iaitu dengan menerapkan ilmu yang berkaitan dalam sistem pendidikan.

"Apabila kita wujudkan kursus yang melibatkan semua aspek berkaitan rasuah bermula dari akar umbi ia dapat melahirkan guru atau kaunselor yang pakar untuk mendidik kepada anti rasuah dan menolak keterlibatan jenayah itu," katanya.

Menurut Shaharum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membantu Kementerian Pendidikan Malaysia selain tugas utamanya yang menyiasat dan berperanan dalam undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika direalisasikan, subjek berkaitan perlu dilaksanakan bermula pada awal usia persekolahan dan diteruskan hingga ke peringkat universiti.

Sebelum itu, Shaharum bersama kira-kira 20 pegawainya mendengar taklimat daripada Nurhayati mengenai objektif Rasuah Busters dan usaha yang dilakukan bagi membantu negara memerangi rasuah.