Guna taktik licik tipu pelanggan

Polis mengesan taktik terbaru penipuan melibatkan penasihat jualan sebuah syarikat kereta yang memerangkap pelanggan untuk membeli kereta. - Gambar hiasan 123RF
Polis mengesan taktik terbaru penipuan melibatkan penasihat jualan sebuah syarikat kereta yang memerangkap pelanggan untuk membeli kereta. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesan taktik terbaru penipuan melibatkan penasihat jualan sebuah syarikat kereta yang memerangkap pelanggan untuk membeli kereta dengan meminta bayaran pendahuluan tetapi kereta dijanjikan tidak diterima.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tindakan licik penasihat jualan berumur 44 tahun itu berakhir apabila polis menahannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, suspek akan meminta pelanggannya untuk membuat bayaran pendahuluan dan yuran tempahan ke akaun peribadinya atau membuat bayaran tunai tanpa melalui akaun syarikat.

"Setakat ini sebanyak tujuh kes telah dilaporkan di bawah kawasan pentadbiran daerah Sentul dengan nilai kerugian berjumlah RM122,868.

"Lelaki itu telah direman selama enam hari bermula Jumaat lepas hingga semalam dan akan diserahkan kepada daerah lain yang terbabit hari ini iaitu Nilai, Negeri Sembilan dan Sepang bagi kes penipuan sama tetapi melibatkan pelanggan berbeza,” katanya kepada Bernama, pada Khamis.

Beh berkata, selepas selesai siasatan di daerah berkenaan polis akan mengambilnya semula untuk dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur.

Menurut sumber polis, suspek ditahan semasa dia datang dipercayai untuk mengambil wang pendahuluan daripada pelanggannya juga anggota polis yang sudah mengetahui penipuannya.

Sementara itu, seorang mangsa penipuan pembelian kereta terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata, dia hanya menyedari ditipu apabila pusat jualan syarikat berkenaan menghubunginya baru-baru ini dan memaklumkan suspek telah ditahan polis kerana penipuan dan pecah amanah.

"Saya panik selepas mendengar berita tersebut kerana jika diikutkan apa diberitahu oleh penasihat jualan itu, kereta yang saya tempah akan tiba pada pertenghan bulan ini.

"Saya telah melakukan sebanyak tiga kali bayaran iaitu dua kali menerusi transaksi dalam talian dan ketiga secara tunai kepada suspek yang kesemuanya berjumlah hampir RM7,000,” katanya yang sudah membuat laporan polis pada Rabu.

Beh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama