Ajak sertai perhimpunan haram, penganggur didenda RM7,000

Muhammad Nur Taufiq hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi satu pertuduhan membuat hantaran komunikasi yang bersifat mengancam, Julai tahun lalu.
Muhammad Nur Taufiq hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi satu pertuduhan membuat hantaran komunikasi yang bersifat mengancam, Julai tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penganggur membuat ciapan Twitter 'sabtu riot?! TURUN!' ke suatu perhimpunan pada Julai tahun lalu, mengundang padah apabila dia didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Muhammad Nur Taufiq Azhar, 27, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi 'sabtu riot?! TURUN!' yang mengancam sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Twitter menggunakan akaun Tulangkata@ tul4ng.

Hantaran itu dibuat pada jam 4.44 petang, 13 Julai 2021 dan telah dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di sini pada keesokan hari, jam 10.15 pagi.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika didapati bersalah.

Mengikut fakta kes, pada 14 Julai 2021, seorang pegawai polis telah melayari internet dan terlihat satu ciapan yang dimuat naik oleh OKS berserta logo bendera hitam.

Pada jam 3 petang, 17 Julai 2021, OKS telah ditangkap oleh pihak polis di Dataran Merdeka di sini kerana telah berhimpun tanpa kebenaran bersama 20 individu lain.

Dia dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana melanggar Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Ketika prosiding, Muhammad Nur Taufiq yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak bekerja.

“Saya mengaku telah menulis ciapan itu dan sedar atas kesalahan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kepada OKS dengan mengambil kira ciapan yang dimuat naik adalah bersifat mengancam.

“Ciapan yang mengajak orang ramai untuk berhimpun seolah-olah memperlekehkan usaha petugas barisan hadapan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berusaha menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19.

“Ciapan setakat 14 Julai 2021, ia telah mendapat ulang ciap lebih 1,800 dan perhimpunan yang dimaksudkan juga turut berlangsung pada Sabtu 17 Julai 2021,” katanya.