Tampilkan lebih ramai atlet muda di temasya sukan besar dunia

Pemain badminton negara, Tze Yong Ng (kiri) dan gimnas negara, Ng Joe Ee antara atlet yang menyerlah pada Birmingham 2022. - Foto Bernama
Pemain badminton negara, Tze Yong Ng (kiri) dan gimnas negara, Ng Joe Ee antara atlet yang menyerlah pada Birmingham 2022. - Foto Bernama
A
A
A

KONTINJEN Malaysia perlu tampil dengan wajah baharu yang lebih segar dan 'garang' pada temasya sukan besar dunia termasuk Komanwel menerusi penglibatan lebih ramai atlet muda.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, persatuan sukan kebangsaan (NSA) perlu berani melakukan pelbagai perubahan termasuk memacu program pembangunan sukan yang lebih dinamik bagi melahirkan lebih ramai atlet pelapis berkualiti.

Biarpun katanya, ia perlu melalui satu proses dan tempoh tertentu, namun ia perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama negara di pentas dunia.

"Kita perlu pendekatan baharu dengan menampilkan atlet-atlet muda. Jangan simpan, keluarkan mereka untuk dapat peluang beraksi di peringkat antarabangsa.

"Kita nampak hasilnya pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 kali ini kemunculan ketara atlet muda yang berjaya membuat kejutan dengan memenangi pingat sama ada emas, perak dan gangsa.

"Bukan mahu menafikan atlet lama yang berpengalaman kerana mereka telah banyak beri sumbangan tetapi kita perlu keluarkan lebih ramai lagi pelapis yang berpotensi untuk ambil alih tempat mereka dengan cepat," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada Selasa media melaporkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu program latihan atlet dari sukan boling padang, terjun dan olahraga perlu dirombak selepas menampilkan aksi membimbangkan pada Birmingham 2022.

Kontinjen Malaysia yang hanya diperkuatkan 104 atlet mengumpul tujuh pingat emas, masing-masing lapan perak dan gangsa untuk menduduki tangga ke-10 keseluruhan temasya itu yang berakhir pada Isnin.

Pencapaian tersebut menyamai prestasi pada Sukan Komanwel terakhir di Gold Coast, Australia pada 2018 dengan meraih tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa untuk berada di tangga ke-12 keseluruhan.

Pekan menambah, NSA perlu lebih proaktif dan berani mengilap bakat-bakat baharu dan memberi tumpuan seimbang antara atlet berpengalaman dan barisan pelapis.

"Jangan apabila muncul seorang atlet bagus atlet lain tidak diberikan tumpuan atau layanan yang seimbang. Peluang perlu diberi terutama kepada atlet muda dan didedahkan sebanyak mungkin dengan kejohanan besar," ujarnya.

Pada masa sama Pekan juga berkata, negara tidak boleh hanya bergantung kepada angkat berat dan badminton sahaja untuk menyumbang pingat emas di Sukan Komanwel, sebaliknya meneroka sukan lain yang berpotensi seperti olahraga dan renang yang mempunyai puluhan acara.

Katanya, Malaysia misalnya boleh menjadikan Kenya sebagai contoh apabila dahulu menguasai acara jarak jauh olahraga, tetapi kini muncul pelari pecut dan juga menguasai acara larian berganti-ganti seperti 4x400 meter.

Beliau menambah, Malaysia juga perlu menampilkan unsur keterujaan dan kejutan kepada para juri menerusi penampilan atlet muda dalam sukan subjektif seperti gimnastik dan terjun yang mampu memberi kelebihan mata buat mereka.

"Atlet muda boleh memberi rasa taksub dalam kalangan juri. Juri-juri sudah biasa dengan penampilan atlet-atlet sedia ada kita.

"Jika dengan penampilan atlet muda, ia boleh menimbulkan rasa kagum juri dan saya percaya ia boleh mempengaruhi dalam aspek pemberian mata," katanya,

Pekan tetap menghargai sumbangan besar atlet berpengalaman seperti penerjun sensasi negara, Datuk Pandelela Rinong yang mencecah usia 29 tahun, namun penampilan barisan pelapis perlu diberi perhatian serius.

Katanya, Malaysia mempunyai ramai bakat muda yang memenangi pingat emas dalam temasya di peringkat Asean dan mereka sewajarnya diketengahkan ke temasya yang lebih besar.

"Dalam sukan terjun, China menampilkan penerjun berusia belasan tahun dan mereka menang emas. Apabila mencecah usia 20 tahun, mereka sudah tiada lagi kerana diganti atlet baharu yang lebih muda," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!