Pesawat ringan terhempas ketika mendarat cemas di lebuh raya

Sebuah pesawat ringan terbakar selepas mendarat di sebuah lebuh raya di Los Angeles baru-baru ini. - Foto Corona Fire Department.
Sebuah pesawat ringan terbakar selepas mendarat di sebuah lebuh raya di Los Angeles baru-baru ini. - Foto Corona Fire Department.
A
A
A

LOS ANGELES - Seorang juruterbang dan penumpang sebuah pesawat kecil yang mempunyai satu enjin tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kapal terbang mereka terhempas ketika mendarat cemas di lebuh raya California pada petang Selasa.

Juruterbang tersebut, Andrew Cho yang mengendalikan pesawat Piper Cherokee yang mengalami masalah kehilangan kuasa enjin menyebabkan dia membuat keputusan untuk menggunakan Lebuh Raya 91 berhampiran Corona di Riverside County, timur Los Angeles sebagai landasan pendaratan cemas.

Ketika pesawat itu mahu mendarat, lebuh raya berkenaan dipenuhi dengan banyak kenderaan.

Pesawat itu mendarat tidak sempurna apabila ia terhentak di atas lebuh raya sehingga menyebabkan ia berpusing dan salah satu sayapnya rosak sebelum mengalami kebakaran kecil.

Beberapa saat kemudian, seorang pemandu merakamkan detik-detik Cho dan penumpangnya sempat melarikan diri dari bangkai kapal yang terbakar ketika asap hitam tebal berkepul-kepul ke udara.

"Sukar untuk digambarkan," kata Cho memberitahu KTLA.

Mereka berada kira-kira 1.2 meter hingga 1.5 meter di udara apabila pesawat itu terhenti sepenuhnya dan jatuh di atas lebuh raya. - Agensi