Minggu Fesyen Kedah himpunkan pereka tempatan, antarabangsa

A
A
A

ALOR SETAR - Penganjuran Minggu Fesyen Kedah (KFW22) yang menghimpunkan lebih 30 pereka fesyen dan jenama tempatan serta antarabangsa memeriahkan lagi industri fesyen tanah air khususnya di wilayah Utara.

Pengurus Pemasaran Kanan Aman Central, Ken Chin berkata, KFW22 merupakan platform terbaik mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam pertunjukan fesyen dengan menyasarkan kehadiran Kedah dalam persada fesyen global.

Menurutnya, KFW22 kembali buat kali kelima selama tiga hari bermula 5 Ogos di pusat beli-belah Aman Central selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19.

“Acara berprestij ini menyerlahkan industri fesyen yang pelbagai dan inovatif dari Asia Tenggara, menampilkan tiga penyanyi terkenal, Marsha Milan Londoh pada malam gala, Khai Bahar untuk malam lelaki dan vokalis terbaik Dayang Nur Faizah pada malam kemuncak,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Kemuncak acara malam penutup diserikan dengan keberangkatan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff diiringi Pengarah Kumpulan Belleview, Grace Ho.

Ken memaklumkan, KFW22 dimeriahkan dengan pertukaran idea dan inspirasi kreatif 16 pereka fesyen terkenal selain lapan pereka revolusioner tempatan, serta tetamu kehormat, penaja, model terkenal dan influencer fesyen, termasuk Miss Global International 2022, Sandra Lim; penyanyi popular Idayu selain selebriti Kedah, Rozita Che Wan.

“KFW22 menampilkan 12 jenama terbilang dengan 31 pertunjukan fesyen diserikan dengan pengacara majlis, Natasha Hudson. Antara pereka fesyen tempatan dan penyewa jenama terkenal yang pamerkan koleksi terbaharu, Icahfa, Qaira Hijab, Fana Couture, HLA, Parkson, Nuwav, Teva, Birkenstock, Studio, Steve Madden, Swarovski, dan Sembonia,” katanya.

Menurutnya, minggu fesyen ini merupakan kombinasi terbaik untuk semua penggemar fesyen daripada pakaian sukan, kasut jenama antarabangsa sehingga perhiasan dan gaya unik pereka, menjadikan ia pengalaman menarik untuk semua.

“Acara tahunan fesyen inspirasi tempatan dan antarabangsa ini diadakan sejak 2016, menampilkan trend baharu dalam persada fesyen Asia Tenggara.

“Antara pereka antarabangsa dibawa khas dari Thailand, Hirankrit Pattaraboriboonkul dan Edwin Ao dari Filipina. Pereka terbilang tempatan termasuk Bytwoo, Thalia, Ainahariz, Daniel Zharif, Eric Choong, Taufik Idros, Faieeez Official, RL Menswear, Dee Roslan, Bon Zainal, Seth&Luna, Khuntumn, Amazé dan Wan & Mary,” ujarnya.

Ken berkata, KFW22 turut mengetengahkan pereka yang semakin meningkat seperti Eugene Chow (Ntrovert), Jeremy Wong Zi Jin (Jer), Liew Hui Ying (Lhy), See Jia Wen (Cappusee) dan Tan Wan Yee (Thewomanofyee).

“KFW22 turut memberi penghormatan khas 'Ikon Fesyen KFW22' kepada pereka Eric Choong sempena 33 tahun beliau dalam industri fesyen.

“Penghargaan kepada penaja utama KFW22 yang memberi komitmen terbaik, Golden Screen Cinema (GSC), Sony Pictures Malaysia, BMW Lee Motors, Star City Hotel, Bt Haus Retreat, Visual Art Deco, Clover Makeup & Beauty Academy, Peak Fitness, Himalaya, Medi Beaute, Café Diem, Coffeehaus 105°C, Kafe Moara, Zoomix, Kedai Bunga Barbara, Ecobrown's dan Sembonia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Belleview Group, Datuk Sonny Ho menegaskan, KFW22 memberi inspirasi kepada industri fesyen, bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.

“Elemen fesyen sentiasa berkembang mengikut peredaran masa, KFW22 merancakkan industri fesyen selain memberi landasan kepada artis yang semakin meningkat.

“Ia bertepatan dengan moto ‘Where Everything Comes Together’ menghimpunkan 30 jenama dalam acara berprestij meraikan kepelbagaian fesyen,” katanya.

Aman Central bukan sahaja menganjurkan minggu fesyen terbesar di Kedah, malah pengunjung berpeluang menyertai peraduan ‘Your Bullet Train to KFW22’ dengan kerjasama Sony Pictures Malaysia menawarkan tiket percuma menonton filem 'Bullet Train' selain berpeluang menyaksikan acara berprestij itu.