Nilai dua lot tanah di Tanjung Pinang berharga RM300 juta: Saksi

Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. - Foto Bernama
Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat penilaian harta dan tanah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, dua bidang tanah lot di Bandar Tanjong Pinang, Pulau Pinang yang diberi milik kepada dua syarikat, Ewein Zenith Sdn Bhd dan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd oleh kerajaan negeri itu dinilai dengan harga RM300 juta.

Pengarah syarikat GE Tan Valuers Sdn Bhd (GETVSB), Tan Gaik Eng, 71, berkata, syarikatnya telah menerima panggilan telefon daripada Ewein Land Sdn Bhd (ELSB) yang meminta untuk menilai harga tanah di lokasi Lot 702 dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang sekitar Jun 2013.

Ewein Land merupakan anak syarikat Ewein Bhd, yang dimiliki oleh pemaju hartanah, mendiang Datuk Ewe Swee Kheng.

Swee Kheng yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia, selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober 2021.

Saksi pendakwaan ke-30 itu berkata, beliau telah mengambil laporan daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) George Town sebagai panduan untuk syarikatnya membuat penilaian dua lot tanah tersebut, selain membuat pelarasan harga antaranya dari segi lokasi, bentuk dan saiz tanah serta perancangan terhadap tanah itu sendiri.

"Saya telah menyediakan laporan penilaian untuk syarikat ELSB dan menyatakan Lot 702 dinilai dengan harga RM135 juta pada Disember 2013, berdasarkan justifikasi yang telah dinyatakan.

"Pada Jun 2015, syarikat saya sekali lagi dihubungi ELSB untuk menilai Lot 713 dan kami telah menggunakan kaedah penilaian sama sebelum mengeluarkan laporan terhadap lot tersebut yang dinilai dengan harga RM165 juta pada Januari 2016,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Berdasarkan dua pertuduhan yang dihadapinya, Guan Eng didakwa menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang itu dilupuskan kepada dua syarikat, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Artikel Berkaitan:

Ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi itu berkata, beliau tidak tahu dua lot tanah tersebut sebelum ini telah dinilai dengan harga RM80 juta oleh dua pegawai dari JPPH George Town.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada Hakim Azura Alwi bahawa saksi utama pendakwaan, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli tidak hadir ke mahkamah bagi pemeriksaan balas pada Rabu kerana mendapat cuti sakit selama empat hari bermula Selasa hingga 12 Ogos ini.

Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. Perbicaraan bersambung 23 November ini. - Bernama