Tukang besi didenda gagal jelas wang RM1,500 dalam akaun

Tertuduh diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada Rabu.
Tertuduh diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada Rabu.
A
A
A

REMBAU - Seorang tukang besi didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas gagal memberikan keterangan munasabah terhadap pertuduhan berhubung pemilikan wang di dalam akaun bank miliknya.

Majistret, Kartini Kasran membuat keputusan itu selepas tertuduh, Foo Seng An, 32, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh telah gagal memberi penjelasan yang memuaskan bagaimana wang RM1,500 dari akaun bank milik seorang individu iaitu rakan kepada pengadu boleh dijumpai dalam akaun tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 10 Julai lepas, lebih kurang jam 10.15 pagi di sebuah rumah di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tsu Sheng dalam hujahannya menyatakan kes berkenaan melibatkan satu sindiket yang menyasarkan mangsa-mangsa lelaki.

"Apabila gambar-gambar video lucah dirakam, mangsa akan diperas ugut untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank. Hasil siasatan polis mendapati tertuduh sebenarnya mangsa sindiket yang diperas ugut dan diberikan pilihan sama ada memberi duit atau membenarkan akaun bank digunakan scammer.

Tsu Sheng memohon hukuman maksima sebagai pengajaran kepada masyarakat dan menghapuskan jenayah berkenaan di Malaysia.

Dalam pada itu, Kartini sebelum menjatuhkan hukuman menasihatkan tertuduh supaya membuat laporan polis kerana menjadi mangsa scammer.

"Sepatutnya kamu yang membuat laporan polis kerana menjadi mangsa perbuatan scammer, jadi bukan kamu yang dituduh pada hari ini.

Kartini kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM1,000 terhadap tertuduh dan turut memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.