Tindakan serta-merta terhadap pegawai cuai: KPPA

Ketidakpatuhan keselamatan perlu dijaga terutama di pintu utama keluar masuk negara. - Gambar hiasan
Ketidakpatuhan keselamatan perlu dijaga terutama di pintu utama keluar masuk negara. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketidakpatuhan dan kecuaian pegawai awam terhadap hal-hal berkaitan keselamatan serta kedaulatan negara hendaklah dikenakan tindakan serta-merta tanpa sebarang kompromi.

Tegas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, apatah lagi jika ketidakpatuhan keselamatan itu berlaku di pintu utama keluar masuk negara.

"Semua pihak bertanggungjawab terutamanya ketua jabatan perlu mengambil tindakan tanpa sebarang alasan," katanya menerusi surat edaran ditandatanganinya pada tarikh 8 Ogos.

Menurutnya, mengambil kira peraturan berkuat kuasa dan peringatan demi peringatan dikeluarkan sebelum ini, sekiranya terdapat cukup bukti menunjukkan seseorang pegawai telah melanggar mana- mana peraturan, tindakan tatatertib sehingga buang kerja boleh diambil kerana ingkar perintah serta menjejaskan imej perkhidmatan awam.

"Pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti diperuntukkan di bawah sub peraturan 19 (1) Peraturan - peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [ P.U. ( A ) 395/1993 ]," katanya.

Beliau berkata, merujuk kepada Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 yang menggariskan sembilan Nilai Teras Keselamatan Negara, membawa, menjaga keselamatan serta kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama, semua pegawai awam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Nilai teras berkenaan Keselamatan Rakyat adalah merujuk kepada aktiviti agensi penguatkuasaan yang mana jika tidak ditadbir urus dengan baik mengikut peraturan dan undang-undang akan menyebabkan kesan domino atau kesan negatif kepada keselamatan ekonomi, ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.

Tegas Mohd Shafiq, ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab untuk sentiasa memantau penyampaian perkhidmatan oleh pegawai.

"Mereka hendaklah memberikan jaminan sekiranya terdapat elemen kecuaian yang berlaku bagi memastikan prosedur adalah pada tahap ditetapkan," katanya.

Minggu lalu, KPPA menegur seorang pegawai imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang didakwa tidak patuh terhadap amalan dan prosedur.

Pegawai tersebut didakwa tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara, malahan diarah terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.