Diserang sawan berulang kali, bapa mohon doakan Ainul Mardhiah

Sumber gambar daripada Facebook Ahmad Safiuddin pada 1 Ogos lalu.
Sumber gambar daripada Facebook Ahmad Safiuddin pada 1 Ogos lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan kesihatan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin tidak begitu baik selepas diserang sawan berulang kali sejak Isnin.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata, keadaan anaknya agak ‘teruk’ dan ini kali pertama Ainul Mardhiah terkena sawan yang berlaku empat hingga lima kali dalam tempoh kurang dari 12 jam.

“Ainul nampak sangat berbeza sekarang. Ainul pernah banyak kali jatuh sakit sebelum ini, tapi saya nampak dia masih bertenaga untuk melawan walaupun diberi ubat tidur,” katanya menerusi akaun Facebooknya pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan Ainul Mardhiah sedang ditidurkan selepas dipercayai mendapat jangkitan kuman sejak Jumaat lalu.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Safiuddin, keadaan Ainul Mardhiah seperti ditidurkan meskipun dia tidak diberikan sebarang ubat tidur.

“Hanya bola mata Ainul mampu gerakkan. Badannya kaku.

“Saya menangis semahunya sejak serangan berlaku tengah malam tadi. Saya tak dapat nak gambarkan apa yang saya rasa sekarang,” ujarnya.

Menurutnya, pihak doktor masih dalam usaha merawat Ainul Mardhiah dan meminta orang ramai mendoakan yang terbaik untuknya.

“Sekarang tiba masanya saya serahkan urusan ini kepada yang Hak untuk menentukan.

“Jauh di sudut hati, saya masih berharap keajaiban dari ALLAH SWT. Semoga ALLAH SWT izinkan Ainul kuat dan dipanjangkan usianya supaya saya dan keluarga masih dapat menjaga dan membesarkannya di depan mata.

“Doakan untuk Ainul Mardhiah kami,” katanya.