Hasanah bebas tuduhan pecah amanah AS$12.1 juta

Hasanah (tengah) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah wang AS$12.1 juta (RM50.4 juta) oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa.
Hasanah (tengah) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah wang AS$12.1 juta (RM50.4 juta) oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab Hamid dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada tuduhan pecah amanah wang AS$12.1 juta (RM50.4 juta) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati tidak adil untuk wanita itu dibiarkan terus tergantung dengan pertuduhan berkenaan lebih daripada setahun.

Menurutnya, keadilan tidak dilaksanakan dengan cara sedemikian.

"Mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

"Berdasarkan fakta bahawa pihak pendakwaan tidak lagi mempunyai keinginan untuk meneruskan kes, maka mahkamah mempunyai kuasa dengan memberikan perintah lepas bebas," katanya.

Pada 12 April lalu, Sinar Harian melaporkan, Hasanah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan itu.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan perkara itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap wanita berkenaan.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.