Sistem pagar automatik KLIA diperluas kepada warga asing

KLIA. - Gambar hiasan Foto 123RF
KLIA. - Gambar hiasan Foto 123RF
A
A
A

SEPANG - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperluaskan sistem penggunaan pagar automatik (autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada warga asing yang mempunyai pas lawatan jangka masa panjang dan dijangka digunakan dalam tempoh sebulan lagi.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sistem berkenaan dijangka digunakan dalam tempoh sebulan lagi.

"Inisiatif tersebut dilakukan bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan kemasukan warga asing di negara ini.

“Dalam masa mungkin sebulan lagi semua warganegara asing yang memegang pas jangka masa panjang di Malaysia sama ada yang masih belajar, bekerja atau berkahwin dengan rakyat tempatan dijangka boleh menggunakan sistem autogate yang mana sekarang ini digunakan oleh warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus Imigresen bersama agensi pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di KLIA di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Khairul Dzaimee berkata, ia bergantung kepada jenis pasport yang dimiliki golongan tersebut.

“Hanya pasport yang mempunyai cip dan mematuhi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) autogate ini.

“Ini dijangka mempercepatkan lagi proses keluar masuk di KLIA ini,” katanya.