Pengesahan CPTPP selesai menjelang akhir tahun: Azmin

Mohamed Azmin membuat lawatan ke gerai pameran selepas majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sempena MAHA 2022 di MAEPS pada Isnin. - Foto Bernama
Mohamed Azmin membuat lawatan ke gerai pameran selepas majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sempena MAHA 2022 di MAEPS pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Langkah meratifikasi atau pengesahan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ketika ini masih terdapat empat undang-undang di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang perlu dipinda sebelum melangkah ke fasa seterusnya.

"Kami mahu ia selesai pada suku ketiga tahun ini tetapi kerana persidangan Parlimen telah tamat dan terdapat pindaan yang perlu dilakukan, kami berharap keseluruhan proses itu akan selesai pada akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita di luar Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada Isnin.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membentangkan penemuan analisis kos dan faedah (CBA) CPTPP kepada Kabinet bulan lepas dan ia membuat kesimpulan bahawa manfaat ratifikasi CPTPP melebihi kos yang dijangkakan.