Tujuh warga China didakwa masuk Malaysia tanpa dokumen

Enam lelaki warga China didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen.
Enam lelaki warga China didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen.
A
A
A

LUMUT - Seramai tujuh individu warga China termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Isnin atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen, bulan lalu.

Tertuduh wanita, Dai Bao Xi, 54 dan lelaki, Guo Fei, 48, yang bekerja sebagai tukang masak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Manakala, Lin Zhi Chuang, 27; Guo Feng Jie,29; Li Tao, 23; Zhang Zheng Long, 29 dan Chen Yuan Zhou, 28, pula mengaku tidak bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati masuk dan berada negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di sebuah apartment di Jalan Lumut di sini pada 25 Julai lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang membawa hukuman denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

A Hafiizh kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Bao Xi manakala denda RM5,000 dan satu sebatan dikenakan terhadap Guo Fei.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan sebatan tersebut dengan menfailkan notis rayuan.

Kedua-dua tertuduh membayar denda itu dan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagi lima tertuduh lain, mahkamah menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya dan Timbalan Pendakwa Raya, R Rishan Kumar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Salleh.