Mohon maaf, bertaubat tuduh sekolah pondok dengan ekstremis

Mohamad Yaakob (depan).
Mohamad Yaakob (depan).
A
A
A

PENDANG - Tuduhan mengaitkan institusi pondok di negara ini dengan usaha mengembangkan fahaman ekstremis dan melahirkan pengganas sepatutnya tidak disuarakan oleh seorang yang beragama Islam.

Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Negeri Kedah (Petanda), Mohamad Yaakob berkata, individu yang membuat tuduhan tersebut perlu membuat permohonan maaf secara terbuka di media kerana kenyataan itu mengguris hati umat Islam di negara ini.

Menurutnya, tindakan tersebut telah meletakkan imej yang tidak baik kepada institusi pengajian Islam dan individu berkenaan perlu bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan demikian.

"Saya hendak tanya yang melakukan letupan di Bali sebelum ini adakah mereka ini lahir atau belajar di institusi pondok kerana yang bertindak ini tiada seorang pun yang lahir daripada institusi pondok.

"Kami menyangkal dan membantah suara begini dan meminta mereka kembali bertaubat dan memohon maaf secara terbuka di media," katanya semasa ditemui pemberita di Pendang Lake, dekat sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang mendakwa lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme membabitkan tenaga pengajar dan pelajar.

Mahmood Zuhdi menyatakan rasa kebimbangannya sekiranya sekolah pondok dibiar tanpa sebarang pemantauan daripada kerajaan.

Mohamad berkata, beliau telah menghubungi Pengerusi MDN itu berhubung kenyataan tersebut dan Mahmood Zuhdi memohon maaf kerana terkhilaf menggunakan ayat ekstremis.

"Di Kedah, kita ada 130 buah institusi pondok yang mana 109 buah pondok berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Negeri Kedah (JHEAIK) dan selebihnya masih dalam proses untuk pendaftaran.

"Alhamdulillah semua institusi pondok di Kedah tidak ada yang ekstremis dan semuanya baik," katanya.

Tambahnya, individu yang berpelajaran perlu mendekati dan mengenali guru dan pelajar di sekolah pondok untuk mendekati dan memahami golongan ini dengan lebih dekat.

"Tok guru ini suka menasihati supaya kita takut kepada Allah, takut dosa dan api neraka dan mengajak kita mengejar pahala untuk ke syurga.

"Mereka ini tak pernah mengajar lawan orang kafir dan dia sendiri tidak pernah berkempen supaya orang ramai belajar dengan mereka tetapi orang ramai yang mencari mereka untuk menuntut ilmu agama," katanya.