Mansuh UPSR, PT3 beri ruang pelaksaan PBS lebih berkesan

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dalam sistem pendidikan negara dilakukan bagi memastikan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelaksanaan PBS bukan perkara yang baharu bahkan telah bermula sejak 2011, namun para guru masih terlalu memberi tumpuan kepada peperiksaan untuk memastikan murid memperoleh keputusan cemerlang.

"Bila nak mansuh peperiksaan, orang kata bagaimana nak mansuh kalau kita belum bersedia dengan PBS sedangkan PBS telah dilaksanakan sejak 2011.

"Perkara ini telah ada dalam sistem lebih 10 tahun, kalau 10 tahun tidak dapat laksana, mungkin 30 ke 40 tahun lagi pun kita belum bersedia... ini (berlaku) disebabkan yang jadi tumpuan guru adalah peperiksaan dengan fokus kepada latih tubi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Forum Transformasi Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertemakan ‘Satu Pengalaman Kolektif, Tanggungjawab Bersama’ di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Mohd Radzi berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 juga adalah bagi memastikan guru dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara lebih kreatif dan inovatif untuk memastikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan.

"Sebab itu kita lakukan transformasi yang kita lihat secara menyeluruh bukan sahaja sekadar pemansuhan UPSR dan PT3 tetapi bagaimana untuk melatih para guru menjadi lebih kreatif dengan melihat bagaimana pendigitalan dapat membantu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Forum sehari anjuran Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) itu hasil kerjasama dengan rakan strategik Kementerian Pendidikan iaitu Google For Education, Apple Malaysia, Digi, Microsoft Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

Forum ini juga merupakan platform perkongsian idea berkaitan keadaan semasa, hala tuju terkini untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara yang berpaksikan rakyat dan mengarusperdanakan konsep akses dalam pendidikan.

Selain daripada sesi perkongsian di pentas utama, pelbagai aktiviti future-forward yang disediakan oleh rakan-rakan strategik di ruang pameran yang terlibat dalam pelaksanaan transformasi pendidikan diketengahkan dengan bantuan murid dan guru dari sekolah terpilih. - Bernama