Dhabitah raih pingat perak kedua

Nur Dhabitah berswafoto bersama Keeney dan Vallee selepas majlis penyampian pingat di Pusat Akuatik Sandwell pada awal pagi Isnin. - Foto Bernama
Nur Dhabitah berswafoto bersama Keeney dan Vallee selepas majlis penyampian pingat di Pusat Akuatik Sandwell pada awal pagi Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

BUAT seketika, segalanya berjalan lancar buat atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri dalam misinya menyumbang emas terjun pertama negara pada Sukan Komanwel 2022.

Namun, Nur Dhabitah yang mendahului carta pusingan akhir 3 meter (m) papan anjal individu selepas terjunan ketiga dengan 207.90 mata, menampilkan gerakan kurang kemas pada terjunan keempatnya yang hanya mengutip 55.50 mata dan akhirnya terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Saingan terdekatnya, Maddison Keeney dari Australia meraih 75.95 mata menerusi terjunan keempat untuk merampas kedudukan teratas.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu bangkit untuk memperoleh 67.50 mata selepas terjunan kelima dan terakhir.

Bagaimanapun, ia sudah terlewat untuk mengatasi Keeney yang terus mempamerkan aksi mantap bagi memikat juri dengan 72.00 mata sekali gus membawa pulang emas buat Australia manakala pingat gangsa dimenangi Mia Jolie Doucet Vallee dari Kanada.

Seorang lagi atlet terjun negara, Ong Ker Ying menduduki tempat ke-12 dengan 231.60 mata.

Nur Dhabitah yang ditemui di Pusat Akuatik Sandwell selepas itu bagaimanapun berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Untuk Sukan Komanwel kali ini, memang saya tak fokus sangat (pada) acara ini (3m papan anjal) kerana saya lebih tumpu kepada acara 10m platform dan seirama," katanya.

Kali terakhir Nur Dhabitah beraksi dalam acara tersebut ialah pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu dengan kedudukan di tempat keempat.

Pada awal pagi Ahad, Nur Dhabitah menyumbang perak dalam acara 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Wendy Ng Yan Yee.

Sementara itu, satu-satunya wakil Malaysia dalam 10m platform lelaki akhir, Bertrand Rhodict Lises mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding ketika pusingan kelayakan.

Bertrand mengumpul 419.60 mata untuk menduduki tempat keenam dalam acara yang dimenangi Cassiel Emmanuel Rousseau dari Australian dengan 501.30 mata, manakala Rylan Mackenzie Wiens dari Kanada membawa pulang perak (492.80 mata) dan peserta tuan rumah, Matthew Lee meraih gangsa dengan 477.00 mata. - Bernama