Tze Yong mara ke final

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mara ke final acara badminton individu Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menumpaskan pemain India, Kidambi Srikanth, 13-21 21-19 21-10 di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham, sebentar tadi.
Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan Tze Yong mengulangi kemenangannya pada acara berpasukan campuran sebelum ini apabila mengenepikan cabaran daripada pemain ranking ke-13 dunia itu.
Aksi set pertama nyata tidak menyebelahi Tze Yong yang dilihat banyak melakukan kesilapan sebelum tewas 13-21.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu dilihat mempamerkan kebangkitan pada set kedua bagi menewaskan Kidambi 21-19 bagi mengheret permainan ke set penentuan.