Budak mata biru ditawarkan sambung belajar di PTSS Perlis

Syazwani (kanan) menyerahkan surat tawaran PTSS Perlis kepada Umi Aqilah di rumahnya dekat Kampung Chenerai Baling pada Jumaat. - Foto PTSS
Syazwani (kanan) menyerahkan surat tawaran PTSS Perlis kepada Umi Aqilah di rumahnya dekat Kampung Chenerai Baling pada Jumaat. - Foto PTSS
A
A
A

SUNGAI PETANI - Impian seorang gadis mata biru menyambung pelajaran dalam bidang kulinari akhirnya tercapai setelah ditawarkan pengajian di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis pada Jumaat.

Umi Aqilah Ahmad Zailani, 19, berkata, dia cukup teruja setelah menerima tawaran selepas pegawai dari institusi berkenaan hadir ke rumahnya di Kampung Chenerai, Baling memaklumkan perkara itu.

Menurutnya, persiapan sedang dibuat bagi membolehkannya melengkapkan segala dokumen diperlukan sebelum pendaftaran pada 15 Ogos depan.

"Saya sangat gembira dapat sambung belajar dan saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin bagi meningkatkan kemahiran dan tahap pendidikan," katanya.

Umi Aqilah yang berkomunikasi menggunakan tulisan dan bahasa isyarat akibat masalah pendengaran dan pertuturan menjelaskan, segala ilmu yang dipelajari termasuk bahasa isyarat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar dan Pendidikan Khas Integrasi di Sungai Petani sebelum ini akan digunakan di PTSS.

Jelasnya, peluang sambung pengajian yang diterima sangat dihargainya dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita menjadi tenaga pengajar dalam bidang kulinari.

Nor Haslynda (kanan) berkomunikasi dengan Umi Aqilah menggunakan bahasa isyarat memandangkan pelajar itu menghadapi masalah pendengaran dan pertuturan. - Foto PTSS
Nor Haslynda (kanan) berkomunikasi dengan Umi Aqilah menggunakan bahasa isyarat memandangkan pelajar itu menghadapi masalah pendengaran dan pertuturan. - Foto PTSS

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebuah keluarga di Kampung Chenerai di Baling di sini mencuri tumpuan berikutan dianugerahkan anak mata berwarna biru sejak lahir.

Siti Eshiah Ismail, 73, menjelaskan anak keduanya daripada empat beradik, Ahmad Zailani Dollah, 52, memiliki mata berwarna biru.

Katanya, dua orang sepupu Ahmad Zailani turut memiliki keistimewaan sama, namun hanya sebelah mata berwarna biru manakala sebelah lagi berwarna hitam.

Siti Eshiah turut menjelaskan dua orang cucunya iaitu anak Ahmad Zailani, Umi Aqilah, 19, dan Muhammad Safwan, 13, turut mewarisi keistimewaan bapa mereka, dianugerahkan sepasang mata berwarna biru.

Sebelum ini, Umi Aqilah ada menyatakan meminta bidang kulinari dan keinginan melanjutkan pengajian dalam kemahiran berkenaan sekiranya diberi peluang.

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan dalam kenyataan, berkata Umi Aqilah antara lebih 700 pelajar baharu yang akan mendaftar di PTSS pada pertengahan bulan ini.

Surat tawaran kemasukan Umi Aqilah ke Program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering disampaikan sendiri Pegawai Pengambilan dan Data PTSS, Syazwani Sobri dan jurubahasa Nor Haslynda Amat Kamisan yang merupakan salah seorang pensyarah yang akan mengajar Umi Aqilah dalam program itu nanti.