Semua beregu negara berpeluang menangi emas

Beregu utama negara Aaron-Wooi Yik berpeluang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022. - Foto Facebook BAM
Beregu utama negara Aaron-Wooi Yik berpeluang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022. - Foto Facebook BAM
A
A
A

KESEMUA pemain beregu negara yang mengesahkan slot beraksi di separuh akhir dilihat berpeluang untuk mara ke final dan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Menurut Pengarah Kejurulatihan (beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, setakat ini kesemua pemain beregu skuad badminton negara telah mempamerkan aksi terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Justeru katanya, aksi sedemikian perlu diteruskan bagi menjamin kemaraan lebih jauh khususnya untuk beraksi di pentas final nanti.

“Bagi saya, kesemua pemain beregu negara telah menunjukkan semangat dan permainan yang baik setakat ini.

“Tetapi apa yang penting, mereka perlu meneruskan semangat dan permainan seperti itu untuk mara lebih jauh lagi (final) dan seterusnya memenangi pingat (emas) buat Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Empat beregu negara melibatkan pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing; gandingan beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah; gandingan beregu lelaki, Chan Peng Soon-Tan Kian Meng dan beregu nombor enam dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal menggalas cabaran negara pada saingan separuh akhir kali ini.

Setelah mempamerkan aksi mantap pada saingan berpasukan campuran dengan menewaskan juara Piala Thomas 2022, India, kini tumpuan peminat sukan terutama badminton negara pasti mengharapkan skuad kali ini mampu untuk memenangi emas.

Sementara itu Rexy tidak menolak kemungkinan gandingan beregu negara bakal berentap sesama sendiri pada peringkat separuh akhir dan juga di final nanti.

Bagaimanapun katanya, situasi berkenaan secara keseluruhannya dilihat bakal memberikan kelebihan buat skuad negara untuk memenangi pingat.

“Saya melihat situasi seperti ini sebagai peluang untuk meraih pingat, namun ia tidak mungkin diraih semudah seperti yang disangkakan.

“Apa pun, semua pemain perlu terus berjuang dan bermain habis-habisan untuk mara lebih jauh selepas ini,” katanya.