Sarawak capai status maju di bawah kepimpinan Abang Johari


Ismail Sabri ketika hadir pada majlis perasmian penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika hadir pada majlis perasmian penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Sarawak dapat mencapai sasarannya untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 di bawah kepimpinan Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, di samping keyakinan ini kerajaan Persekutuan akan terus mengutamakan pembangunan Sarawak dan ini terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan RM4.55 bilion yang disediakan di bawah Rancangan boleh pinda (Rolling Plan) Kedua tahun 2022 Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Selain itu, bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMK12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sarawak di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, daripada 409 projek pembangunan baharu dan sambungan, 111 projek kini siap sepenuhnya, 109 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 projek berstatus prabina.

"Peruntukan RM2.16 bilion turut disediakan bagi menampung 361 projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif," katanya.

Ismail Sabri berkata, empat lokaliti di Sarawak juga telah dikenal pasti bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan mencapai tahap kemiskinan tegar sifar menjelang 2025.

Selain BMTKM beliau berkata, 867,967 Keluarga Malaysia di Sarawak telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan RM745 juta.

"Ini membuktikan kecaknaan Kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini," katanya sambil menambah Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada bulan Mac 2015, kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

Menurutnya, kerajaan juga akan meneruskan Fasa Kedua Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei.

"Projek Fasa Kedua SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326km dengan kos RM7.68 bilion. Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.35km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion.

"(Jalan raya) ini akan menjadi pemangkin pembangunan sosio ekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada Keluarga Malaysia yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM4.09 bilion di bawah RMK-12 untuk memastikan capaian jalur lebar secara menyeluruh di Sarawak menjelang 2030.

Menurutnya, satelit kelapan negara, MEASAT-3d dengan kos sekitar RM1.2 bilion baru-baru ini telah dilancarkan bagi meningkatkan kelajuan capaian internet sedia ada, sekali gus merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

"Inilah antara tanda keprihatinan dan inisiatif kerajaan kepada rakyat di negeri ini. Kerajaan berharap selepas ini tiada lagi Keluarga Malaysia yang terpaksa berkhemah di atas bukit semata-mata mencari liputan Internet," katanya.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan di bawah Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) kepada sembilan penerima muda yang telah kehilangan sama ada ibu atau bapa mereka, yang meninggal dunia kerana Covid-19.

Beliau turut menyampaikan bantuan komputer riba inisiatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) kepada lima pelajar Universiti daripada kalangan keluarga B40.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beberapa menteri kabinet persekutuan serta negeri turut hadir di majlis itu.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi Sarawak yang melabuhkan tirai pada Ahad telah berjaya menarik lebih 80,000 pengunjung sejak bermula Jumaat lepas. - Bernama