Ayam RM5 gegar reruai Nafas di MAHA 2022

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob, menjual ayam pada harga RM5 sewaktu sesi happy hour di Pavillion Nafas di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob, menjual ayam pada harga RM5 sewaktu sesi happy hour di Pavillion Nafas di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Jualan ayam RM5 oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mendapat sambutan hangat daripada pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, apabila lebih 100 pek ayam terjual dalam tempoh 10 minit.

Lebih istimewa, jualan happy hour itu turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob bertempat di Pavillion Nafas di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.

Orang ramai termasuk kanak-kanak tidak melepaskan peluang melihat anak ayam yang dipamerkan di reruai Nafas sempena MAHA 2022 pada Sabtu.
Orang ramai termasuk kanak-kanak tidak melepaskan peluang melihat anak ayam yang dipamerkan di reruai Nafas sempena MAHA 2022 pada Sabtu.

Zamri ketika ditemui berkata, 1,000 pek ayam keluaran Nafas Food Processing & Marketing Sdn Bhd itu dibawa ke MAHA 2022 dan dijual pada harga istimewa.

Menurutnya, selain ayam sekilogram, Nafas menawarkan pelbagai produk ayam seperti ayam potong sekilogram, ayam potong 14, paha ayam tanpa tulang, filet ayam dan ayam super yang dijual pada harga istimewa.

"Produk-produk ayam ini dibawa kerana kita tahu ia adalah makanan popular rakyat Malaysia. Nafas mempunyai misi dalam memenuhi keperluan dan permintaan pengguna dalam industri makanan halal yang lestari melalui pengeluaran, pemprosesan, pengedaran serta pemasaran.

"Kita juga mempunyai visi besar sebagai peneraju dalam penternakan, pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran produk Pertubuhan Peladang," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Mohd Faris Mohd Fahmi, 41, dari Bukit Beruntong, Selangor nyata teruja apabila pertama kali mengunjungi MAHA.

MOHD FARIS
MOHD FARIS

Jelasnya, selain menikmati pelbagai barangan produk keluaran tempatan pada harga yang murah, ahli keluarganya berpeluang melihat pelbagai pameran agro.

"Reruai Nafas misalnya, ada menempatkan anak-anak ayam yang berwarna-warni dan baka-baka ayam yang besar membuatkan kita teruja," katanya.

Jururawat, Ika Fatihah Nordin, 33, turut hadir bersama tiga anak-anaknya.

IKA FATIHAH
IKA FATIHAH

Menurutnya, pelbagai barangan dan makanan keluaran tempatan ditawarkan dengan harga berpatutan pada program berkenaan.