TRW tempang tanpa dua import

Pemain Kelantan, Mohamad Hakimi Abdullah diasak pemain Selangor, K Prabakaran (kanan) pada pertemuan pusingan kedua Piala FA di Kota Bharu, malam tadi.
Pemain Kelantan, Mohamad Hakimi Abdullah diasak pemain Selangor, K Prabakaran (kanan) pada pertemuan pusingan kedua Piala FA di Kota Bharu, malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU – Jurulatih Kelantan, Marko Kraljevic mengakui ketiadaan dua pemain import memberi kesan kepada prestasi semasa The Red Warriors (TRW) sehingga menyaksikan pasukannya tersingkir awal dalam kempen Piala FA musim ini.

Tanpa berselindung Kraljevic berkata, beraksi tanpa tenaga import yang cukup menjadi salah satu faktor pasukannya ditunjukkan jalan keluar oleh Selangor pada pusingan kedua di Kota Bharu, malam tadi.

Menurutnya, sukar bagi Kelantan mengharungi saingan musim ini sekiranya situasi tersebut berterusan yang mengakibatkan dia tidak boleh menurunkan kesemua pemain import dalam satu-satu perlawanan.

“Raul (Tarragona) telah pergi, Cassio (de Jesus) masih cedera. Saya tidak tahu sama ada dia boleh bermain atau tidak dalam perlawanan terdekat menentang Sarawak.

“Realitinya kami hilang dua pemain import, ia memberi kesan besar kepada pasukan. Memang cukup perit bermain tanpa pemain import sepenuhnya, sekarang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pada pertemuan tersebut, Kelantan terbukti gagal menyaingi reputasi Selangor apabila tumpas 0-3 hasil jaringan Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-62 selain dua gol sumbangan Mohd Faiz Mohd Nasir (m-65 dan 87).

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu lagi, aksi tidak konsisten anak buahnya turut menyumbang kekalahan tersebut biarpun mereka berjaya menghalang Selangor daripada menjaringkan gol lebih awal dalam babak pertama.

"Kita berjaya mengikat 0-0 pada separuh masa pertama walaupun lawan mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol. Tetapi pemain saya takut untuk menerima bola, takut melakukan hantaran seperti timbul kebimbangan ketika bertemu Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun babak kedua kami bermula dengan baik tetapi pemain membuka terlalu banyak ruang kepada Selangor sehingga akhirnya kami dibunuh.

"Bila kami melepaskan gol kedua, mereka (pemain) cuba bangkit merapatkan jurang tetapi saya kena akur Selangor sebuah pasukan berkualiti dan inilah bola sepak, kami kena terima kekalahan ini,” ujarnya.