Filem Mat Kilau sebuah metasejarah

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
A
A
A

FILEM Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya mencipta fenomena baharu dalam seni budaya bangsa.

Fenomena bererti menjadi tumpuan, mengandungi kejutan, memiliki ciri-ciri pembaharuan, istimewa, berpengaruh dan pragmatik.

Resepsinya sangat lumayan daripada kalangan khalayak menjadi bukti kehadirannya. Pengembaliannya kepada sejarah ternyata tidak sia-sia kerana di situlah berkumpulnya hipogram dan tipa-induk kekuatan sesuatu bangsa.

Seperti juga di Barat, konsep sejarah sering dipertikaikan, malah berlaku dialogikal sepanjang zaman. Mereka mewacanakan sejarah dari sudut keabsahan dan legitimasinya.

Dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berlakunya anakronisme dan salah dalam silang budayanya. Justeru, ada mahu meminggirkannya kerana ia menderhaka terhadap kebenaran sejarah. Malah, citra tentang tentera sepoi yang ganas itu boleh melukakan perhubungan antara kaum.

Namun, secara umumnya resepsi khalayak sangat tergoda dan dapat mengembalikan nostalgia kegagahan perwira Melayu. Sama ada ia mitos, legenda, dongeng, sejarah atau fiksyen tidak dipedulikan kerana ia berjaya memenuhi collective unconsciousness dan primordial images bawah sedar Melayu yang selama ini terbenam serta terhunjam jauh ke dasar batinnya.

Lebih-lebih lagi antagonisnya ialah penjajah yang memugar hasil negara untuk dibawa ke istana-istana di seberang laut. Secara the other, meminjam istilah Roland Barthes bagi memaknakan pendatang itu, sangat cukup difahami secara harfiah oleh khalayaknya, siapakah manusianya dimaksudkan dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.

‘Kembali kepada sejarah’ adalah satu cara sesuatu bangsa itu untuk mengenali identiti dan peradabannya. Ahli falsafah seperti Michel Foucaullt dan Jacques Derrida menggesa sasterawan moden melakukan pembongkaran, penggalian serta penyusunan semula, rekonstruksi terhadap pensejarahan.

Barat kembali ke zaman Renaissans yang dianggap golden ages, zaman kebangkitan Eropah menjadi bangsa yang tegar dan permulaan pen-jajahan. Stephen Orgel, Roy Strong dan D J Gordon adalah grup pertama yang membaca teks Renaissans dan mendapati ia sangat berharga.

Renaissans mengakhiri era terakhir Middle Ages, manusia tidak lagi sebagai objek kaku dan pasrah kepada takdir. Sebaliknya, dengan sejuta keazaman dan kekuatan, hasil kembali kepada semangat budaya Greek dan Roman, memberi nafas baharu untuk hidup pada zaman-zaman mendatangnya.

Daripada Greek, mereka mencungkil semula rahsia ilmu dan falsafah, daripada Roman menukil semula roh pentadbiran negara dan kuasa penjajahan. Kedua-duanya bergabung, berjaya membina falsafah humanisme bagi melahirkan zaman kegemilangan Renaissans.

Pemikiran dan falsafah

Dengan mendapat tunjangan Warbug-Coutauld Institute England, pengkaji dan pemikir sastera mendapati dalam sastera Renaissans terdapat apa yang mereka istilahkan sebagai cultural codes serta melahirkan political power.

Mereka menemukan ciri-ciri dan dasar pembinaan kekuasaannya. Karya Leo Tolstoy, Shakespeare, Moleire, Racine dan Victor Hugo tidak sahaja difahami maksudnya tetapi pemikiran dan falsafahnya.

Dunia Pencerahan zaman moden adalah natijah perjuangan sastera Renaissans itu tetapi lebih penting lagi, menurut Valentine Cunningham (1991), sejarah Renaissans itu bercorak historico-textual- functions-power. Efek sejarah dibuktikan bahawa sastera zaman itu berfungsi dan berhasil menegakkan tamadun manusia serta peradaban bangsa Eropah.

Secara analogi, begitulah juga diharapkan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebagai katalis yang mampu menggali mutiara dan dijadikan urat-urat serta darah mengalir dalam diri bangsa menjadi akar dan paksi kekuasaan baharu. Melalui sejarah terbina sebuah sejarah.

Terdapat tiga jenis teks karya bercorak sejarah. Pertama, karya historikal secara faktual yang mementingkan ketepatan peristiwa, mengambil sumber asli dan taat kepada jalur peristiwa.

Kedua, karya historiografik, memberi tafsiran dan makna baharu terhadap sejarah. Ketiga, metasejarah, melakukan penggalian untuk mencungkil hakikat peristiwa dan melakukan perlanggaran untuk menyuguhkan misi serta visi lebih dinamik dan progresif.

Karya historikal memerlukan ketelitian fakta supaya tidak tersesat dalam naratifnya. Sumbernya daripada buku dihasilkan pakar sejarah atau melakukan penyelidikan kerja lapangan.

Filem Bukit Kepong, contoh tepat Tan Sri Jins Shamsuddin melakukan penelitian untuk mendapat sumber hakiki. Hampir lebih tiga tahun beliau bekerja untuk mendapat peristiwa yang sahih.

Begitu juga bertahun-tahun Shaharom Hussain melakukan penyelidikan untuk mendapatkan kejadian sebenar bagi menulis drama sejarahnya. Seandainya hanya kembali ke masa silam dengan berlatar sejarah tetapi ceritanya dongeng, dinamakan drama purbawara.

Karya historiografik lazimnya melakukan demitefikasi dan modifikasi terhadap teks sejarah supaya beranjak maknanya. Ali Aziz mengemukakan Jebat sebagai penderhaka dalam Jebat Menderhaka.

Dengan struktur sama, Usman Awang mencipta metafiksyen daripada drama Ali Aziz itu, mengubah tanggapan tentang Jebat dengan Matinya Seorang Pahlawan.

Historiografik boleh dikemukakan secara fotokopi, nostalgia atau idealistik. Fotokopi ialah mimesis dan salinan secara mutlak daripada sumbernya. Nostalgia hanya berpegang kepada peristiwa indah dalam sejarah untuk pemenuhan rasa kebertuahan. Dan idealistik sejarah pahit tetapi membawa pengertiannya untuk keterkinian past story for present meaning.

Karya metasejarah ialah aspek sejarah diinterpretasikan menurut pandangan pengarang. Ia tidak mementingkan kronologikal peristiwa, menumpukan kepada kekuasaan, political dimension, juga berunsur pascakolonialistik.

Pembinaan wataknya mengikut pusat watak seperti dianjurkan oleh Derrida dalam teori dekonstruksi. Cuba membina fenomena sebagai pembeza naratifnya seperti dianjurkan teori teksdealisme.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan bukan filem genre historikal, sebaliknya sebagai metasejarah. Malah, ada kecenderungan secara eklektikal, menggabungkan kesemua unsur pensejarahan itu sehingga melahirkan sebuah teks rencam, karnival dan pelbagai warna.

Tentu sia-sia sesiapa yang mahu mencari autensiti sejarahnya kerana niatnya bukan berbuat demikian. Sebaliknya, teks metasejarahnya yang segar mekar, sambil melayan tuntutan ekstasi harapan khalayaknya.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berhasil secara idealistik membenihkan sebuah kanon filem Melayu.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia