Sathia ingatkan Kafa jaga pemain muda

SATHIANANTHAN
SATHIANANTHAN
A
A
A

KOTA BHARU – Pengendali Selangor, B Sathiananthan meninggalkan pesan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) agar ‘menjaga’ bakat muda mereka bagi tempoh jangka masa panjang sekiranya mahu kembali menjadi antara pasukan yang boleh bersaing secara kompetitif dalam pentas bola sepak negara.

Sathiananthan yang pernah membantu Kelantan mencipta sejarah menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun 2010 berkata, pandangan ikhlas itu disuarakannya selepas melihat skuad The Red Warriors yang cetek pengalaman ditunjukkan jalan keluar oleh pasukannya, pada pusingan kedua Piala FA, malam tadi.

“Pemain-pemain muda Kelantan memang bagus, ada kemahiran cuma gementar sedikit, dan kurang pengalaman. Tak ada pemain (berpengalaman) yang boleh tenangkan mereka.

“Saya fikir kalau Kelantan ada pemain import yang bagus, pasukan ini boleh pergi ke Liga Super. Saya memang kesian pasal saya suka Kelantan,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan itu.

Dalam aksi tersebut, Selangor menepati status selaku pasukan Liga Super apabila menewaskan Kelantan 3-0 hasil jaringan Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-62 selain dua gol sumbangan Mohd Faiz Mohd Nasir (m-65 dan 87).

Jurulatih berusia 61 tahun itu turut memberi contoh pemain berasal dari Kelantan, Mohd Faiz atau dikenali Messi Selangor kini mencipta nama bersama The Red Giants, pada musim ini.

“Dia asal dari Kelantan, (jadi) saya harap Kelantan simpan bakat-bakat mereka. Kelantan tak patut berada di Liga Perdana. Saya sentiasa ingat orang Kelantan selalu (anggap) pasukan ini mesti (beraksi dalam) Liga Super,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas kemaraan Selangor ke pusingan ketiga, Satiananthan memberitahu, dia tetap berpuas hati dengan kemenangan 3-0 sekalipun pasukannya mampu mencetak lebih banyak jaringan di Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

“Yang penting menang untuk ke pusingan seterusnya, bukan senang main di Kelantan ini. Tak kira lima atau enam gol, satu gol pun dah menang.

“Kita kena fikir empat hari lagi kita akan turun lawan Melaka United (aksi liga). Jadi kita memang bukan datang ke sini nak cari (banyak) gol kerana apa yang kita dapat ini sudah cukup puas hati,” ujarnya.