Wushu terus dominasi pentas AUG

Acara duilian berpasukan wanita menambah keceriaan kontinjen negara dengan koleksi emas ke-49. - Foto Sukan IPT
Acara duilian berpasukan wanita menambah keceriaan kontinjen negara dengan koleksi emas ke-49. - Foto Sukan IPT
A
A
A
KEM wushu negara membuktikan dominasi ke atas sukan itu kekal milik mereka apabila membawa pulang lima pingat emas sekali gus bergelar juara keseluruhan pada hari terakhir temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) pada Sabtu.

Dalam aksi berlangsung di Menara Sunee di sini, kem wushu melengkapkan kutipan dengan menghadirkan dua lagi pingat emas masing-masing menerusi acara duilian berpasukan lelaki dan duilian berpasukan wanita.

Bagi acara duilian lelaki, Ang Qi Yue dan Chuah Shangyang memastikan emas ke-48 kontinjen negara selepas mencatat 9.61 mata menewaskan wakil Indonesia Harris Horatius, Edgar Xavier Marvelo dan Siregar Serafnaro (9.51 mata) yang memenangi perak, sementara wakil Thailand Joe Saeli dan Pitaya Yanrungrawin (9.2 mata) meraih gangsa.

Acara duilian berpasukan wanita diwakili Loh Ying Ying, Tammy Tan Hui Ling dan Tan Cheong Min menambah keceriaan kontinjen negara dengan koleksi emas ke-49 apabila mencatat 9.23 mata.

Mereka menewaskan wakil Indonesia Eugenia Widodo, Diva Puspa dan Dewi Tasya Ayu yang meraih perak dengan kutipan 9.16 mata, sementara pingat gangsa milik satu lagi pasukan negara Lee Jia Tong, Sydney Chin Sy Xuan dan Mandy Cebelle Chen (9.12 mata).

Sementara itu, pengurus pasukan wushu negara, Sharel Rizel Dzahari berkata, kejayaan membawa pulang lima emas serta masing-masing tujuh perak dan gangsa adalah antara pencapaian terbaik atlet Malaysia dalam temasya itu.

"Sasaran tiga emas sebelum ini dicapai dengan tambahan dua lagi adalah hasil prestasi atlet yang kekal fokus mengejar tambahan pingat.

"Ini pencapaian terbaik wushu di AUG sepanjang dua kali saya jadi pengurus dengan kesemua atlet berjaya bawa balik pingat," katanya ketika ditemui. - Bernama