Dakwaan kerajaan abai Orang Asli tidak betul

Mahdzir (lima dari kiri) bersama dengan tetamu yang hadir pada Program Bekwoh Rakyat Keluarga Malaysia di Pantai Geting, Pengkalan Kubor pada Sabtu.
Mahdzir (lima dari kiri) bersama dengan tetamu yang hadir pada Program Bekwoh Rakyat Keluarga Malaysia di Pantai Geting, Pengkalan Kubor pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan menyangkal dakwaan yang mengaitkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) gagal menjaga kebajikan Orang Asli.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kewujudan Jakoa menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli menerusi pelbagai peruntukan yang disalurkan setiap tahun.

"Setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan khusus bagi menjaga kebajikan dan kepenting masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

"Ia merangkumi soal pendidikan, kemudahan asas, kegiatan ekonomi dan sebagainya," katanya selepas mengulas dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa kerajaan tidak menjaga kebajikan Orang Asli di negara ini.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along memberitahu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf dan kehidupan masyarakat Orang Asli gagal kerana kecuaian Jakoa dalam memantau projek yang diluluskan untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Sebelum itu, Mahdzir merasmikan Program Bekwoh Rakyat Keluarga Malaysia di Pantai Geting, Pengkalan Kubor pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar sebaliknya kerajaan sentiasa membela nasib golongan berkenaan.

Beliau berkata, terdapat lebih 207,000 Orang Asli di seluruh semanjung Malaysia yang tinggal di 853 buah kampung.

Mahdzir berkata, kesungguhan Malaysia yang menjaga kebajikan Orang Asli telah menarik minat negara luar untuk melihat bagaimana kerajaan menjaga kebajikan masyarakat berkenaan.

"Untuk makluman seramai 53 Orang Asli sedang melanjutkan pelajaran di luar negara, manakala 918 orang menyambung pengajian di universiti tempatan," katanya.