Jual air RM1 untuk bantu orang

Kira-kira 13 jenis minuman bancuh dijual pada harga RM1 di gerai milik Shamsudin Ahmad terletak di Pantai Johor.
Kira-kira 13 jenis minuman bancuh dijual pada harga RM1 di gerai milik Shamsudin Ahmad terletak di Pantai Johor.
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang peniaga di Pantai Johor hanya menjual pelbagai jenis air minuman pada harga serendah RM1 sebungkus untuk membantu masyarakat yang sedang berdepan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Shamsudin Ahmad, 56, berkata, dia menjual air minuman bancuh pada harga RM1 bermula dari kasihan melihat pelajar sekolah yang datang ke gerainya.

“Lama-kelamaan, saya ambil keputusan untuk menjual air minuman pada harga RM1 kepada semua pelanggan.

“Walaupun, harga air minuman di gerai saya hanya RM 1 berbanding RM2 hingga RM3 di kedai lain, saya anggap ia sebagai salah satu bentuk sedekah dan percaya pada rezeki ditentukan oleh Allah SWT,” katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Tambah Shamsudin, dia masih mampu memperoleh keuntungan daripada hasil jualan aneka jenis minuman bancuh pada harga RM1 seperti milo, nescafe, teh hijau,bandung, teh susu, nestum, jagung dan keladi.

“Alhamdulillah, saya rasa berbaloi dapat membantu orang dengan menjual air minuman bancuh pada harga berpatutan dan ia mendapat sambutan hangat daripada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun beberapa jenis minuman iaitu neslo, horlick dan air minuman dari jenama tertentu (satu peket) dijual pada harga biasa iaitu RM2 sebungkus manakala minuman lain kekal RM1.

Shamsudin memberitahu, selain minuman, dia turut menjual pelbagai jenis kuih-muih serta nasi lemak kepada pelanggan di gerainya yang sudah beroperasi sejak tahun 1999 itu.

Menurut Shamsudin, dia membuka gerai minuman dengan dibantu kira-kira lima pekerja terdiri daripada ahli keluarganya bermula dari jam 1 petang hingga 1 pagi setiap hari kecuali pada Jumaat.