Petronas perkukuh azam jadi organisasi bebas rasuah

Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjadi syarikat terbaharu menandatangani IBR.
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjadi syarikat terbaharu menandatangani IBR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,802 entiti termasuk syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kementerian telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sehingga kini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjadi syarikat terbaharu menandatangani IBR dalam usahanya memperkukuh azam menjadi sebuah organisasi bebas rasuah.

Beliau berkata, Petronas telah berjaya menzahirkan inisiatif antirasuah dan pematuhan secara keseluruhan terhadap kesemua arahan yang telah dikeluarkan kerajaan.

"Ia seperti penubuhan Unit Integriti dan Tadbir Urus (IGU) dan perlaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

"Pematuhan kepada semua inisiatif ini merupakan elemen penting dalam memastikan sesebuah organisasi telah memperolehi tatacara yang mencukupi selaras dengan peruntukan liabiliti korporat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Majlis membaca dan menandatangani IBR itu diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dengan disaksikan Azam serta Pengerusi Lembaga Pengarah Petronas, Tan Sri Bakke Salleh. - Bernama