LCS: Heret pengkhianat sebenar ke muka pengadilan

Hantaran Facebook Ahmad Fadhli.
Hantaran Facebook Ahmad Fadhli.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera mengheret pihak yang terlibat dalam salah saku perolehan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke muka pengadilan.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana permasalahan yang telah berlanjutan sejak sekian lama itu perlu segera dirungkai.

Beliau berkata, adalah wajar untuk kerajaan mengambil tindakan tegas selepas melihat laporan penyiasatan yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana beliau merupakan salah seorang daripada anggota jawatankuasa itu.

“Sekarang, laporan PAC telah dibentang dan didedahkan. Lebih RM6 bilion duit rakyat hangus untuk projek yang semasa pembayaran dibuat, pelan kapal pun tak siap! Bayangkan, pembayaran dibuat, pelan kapal pun masih belum siap.

“Saya mendesak, kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri hari ini, heretlah petualang berkenaan di muka pengadilan. Tolong jangan kata SPRM tiada maklumat.

"Tolong jangan perbodohkan rakyat. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada maklumat, ada data.

“Perdana Menteri yang masih ada kuasa berbaki ini, sebelum bubar Parlimen, cuba sikit tunjuk jantan. Jangan bimbang, Perdana Menteri yang ada sekarang tidak terbabit. Orang lain, saya kurang pasti,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam masa sama turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi PAC, Wong Kah Woh kerana berjaya melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dalam memastikan siasatan kes ini berjalan lancar.

“PAC mempunyai bidang kuasa yang terhad dan tidak mempunyai kuasa pendakwaan. Rakan-rakan di dalam PAC saya boleh katakan bertungkus-lumus sebaik mungkin secara profesional memanggil seorang demi seorang saksi.

“Lawatan oleh anggota PAC ke Lumut Perak pun telah dibuat untuk meninjau isu ini secara dekat,” katanya.

Pada Khamis, Kah Woh dilaporkan berkata, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Beliau berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendahaam Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.

Laporan itu turut membangkitkan reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan tetapi keputusan itu telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

Jelas Kah Woh, pemilihan sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan negara seharusnya mengutamakan keperluan end user iaitu TLDM.