B-16 AFF 2022: Malaysia, Myanmar berkongsi mata

Aksi Dainei ketika diasak pemain Myanmar dalam aksi Kumpulan C Kejuaraan B-16 AFF di Stadium Maguwoharjo, Sleman pada Jumaat. - Foto Football Association of Malaysia
Aksi Dainei ketika diasak pemain Myanmar dalam aksi Kumpulan C Kejuaraan B-16 AFF di Stadium Maguwoharjo, Sleman pada Jumaat. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

MISI skuad Harimau Muda Bawah 16 (B-16) tahun negara melebarkan rentak kemenangan saingan Kumpulan C Kejuaraan B-16 AFF 2022 tidak kesampaian apabila terikat 1-1 ketika berdepan Myanmar pada Jumaat.

Dalam perlawanan di Stadium Maguwoharjo, Sleman, Indonesia itu, anak buah Osmera Omaro terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Dainei Mat Disa pada minit kedua untuk mendahului babak pertama 1-0.

Babak kedua, Malaysia yang berstatus juara bertahan edisi 2019 Thailand selepas menewaskan tuan rumah kembali disaingi corak permainan agresif Myanmar

Hasilnya, Kaung Khant Zaw berjaya memadamkan pendahuluan babak pertama Harimau Muda B-16 menerusi jaringan minit ke-50.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad negara kekal mengemudi kumpulan dengan empat mata biarpun berkongsi mata bersama Myanmar selepas mengharungi dua perlawanan, namun dipisahkan jaringan.

Harimau Muda B-16 yang menundukkan Kemboja 3-0 pada aksi pertama Selasa lalu bakal melengkapkan kempen kumpulan apabila berdepan pasukan pilihan Australia di Stadium Maguwoharjo, Isnin ini.

Untuk rekod, tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik layak ke separuh akhir pada 10 Ogos ini.