Perlis terima baton Jalur Gemilang KMKM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putra, pada 30 Julai lalu. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putra, pada 30 Julai lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA PERLIS - Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM 2022) Sempena Bulan Kebangsaan tiba di Perlis, pada Jumaat.

Sebaik tiba, baton Jalur Gemilang KMKM 2022 itu diserahkan kepada Exco Pengangkutan negeri Hamizan Hassan di Kampung Seberang Ramai di sini.

Hamizan berkata, konvoi seperti itu sempena sambutan Bulan Kebangsaan kembali aktif dilaksanakan setelah dua tahun direhatkan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Pelaksanaan KMKM 2022 adalah berkonsepkan "Pass Baton” dengan membawa Baton Jalur Gemilang ke seluruh negara dan diserahkan di setiap sempadan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KMKM 2022 Parlimen Kangar di Kampung Seberang Ramai, pada Jumaat.

Katanya, KMKM 2022 ini bermula pada 30 Julai semasa Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Putrajaya dan akan berakhir pada 31 Ogos.

"Baton Jalur Gemilang akan diserahkan di sempadan ‘check point’ pertama setiap negeri dan Kangar merupakan ‘check point’ pertama bagi negeri Perlis,” katanya.

Sementara itu, seorang murid Sekolah Kebangsaan Bukit Keteri, Mohd Aidil Putra Asmizan, 12, berkata beliau berasa teruja dapat bersama-sama menyertai konvoi KMKM 2022 dengan basikal yang telah dihias bersama datuknya.

"Saya mengajak tokwan (datuk) untuk menghias basikal dengan bendera untuk bersama-sama menyertai konvoi ini walaupun hanya di sekitar kampung ini saja,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Katanya beliau tidak sabar untuk menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti, setelah dua tahun tidak dapat menyambutnya akibat pandemik Covid-19. - Bernama