Premis simpan minyak diesel subsidi diserbu

Norena menunjukkan lori tangki yang dipercayai digunakan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi sebelum dijual.
Norena menunjukkan lori tangki yang dipercayai digunakan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi sebelum dijual.
A
A
A

MELAKA - Sebuah premis di kawasan perindustrian Krubong di sini yang dipercayai dijadikan lokasi penjualan diesel bersubsidi secara haram diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka pada Khamis.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan jam 2 petang bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menemui 12,000 liter minyak diesel bernilai RM25,800 yang disimpan dalam tangki tambahan lori.

Menurutnya, hasil serbuan dalam premis itu juga mendapati terdapat dua tangki simpanan minyak berkapasiti 40,000 liter, 20 buah tangki tambahan berkapasiti 20,000 liter dipercayai bagi memindahkan serta menyimpan minyak dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan lebih RM186,000.

Katanya, modus operandi bagi aktiviti terbabit dengan cara membuat pengisian minyak antara RM300 hingga RM500 setiap hari di stesen minyak sekitar negeri ini selain menutup tangki menyimpan minyak menggunakan kain kanvas bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Norena (kiri) menunjukkan tangki yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel di sebuah premis di krubong, pada Jumaat.
Norena (kiri) menunjukkan tangki yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel di sebuah premis di krubong, pada Jumaat.

"Semasa serbuan dijalankan terdapat lima pekerja lelaki termasuk dua warga asing berusia antara 20an hingga 40an sedang melakukan kerja-kerja memindahkan minyak diesel ke dalam tangki utama.

"Kesemua barangan yang disita dibawa dan disimpan di stor KPDNHEP dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan," katanya kepada pemberita selepas melihat premis berkenaan di Krubong pada Jumaat.

Tambah beliau, risikan yang dijalankan mendapati aktiviti haram terbabit dilakukan sejak lebih lima bulan lalu berdasarkan keadaan premis yang lengkap dengan hos pemindahan minyak, tangki dan sebagainya.

"Diharap (pengusaha) stesen minyak lebih peka dan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat lori dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi minyak," katanya.