Gagal seludup tiga kontena minuman keras RM1.57 juta

Julaiman (tengah) menunjukkan minuman keras yang diseludup masuk menggunakan kontena di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Julaiman (tengah) menunjukkan minuman keras yang diseludup masuk menggunakan kontena di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras yang cuba diseludup ke Sabah bernilai RM1.568 juta termasuk cukai yang disimpan di dalam tiga kontena di Pelabuhan Sepanggar di sini pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, terdapat 9,000 kotak minuman keras dirampas bersama tisu di dalam kontena berkenaan dipercayai digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa sebelum berjaya dikenal pasti sebagai barangan seludup.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Julaiman Soimin berkata, kejayaan itu hasil penemuan imej imbasan meragukan yang diperoleh menggunakan mesin pengimbas terhadap ketiga-tiga kontena berkenaan.

"Hasil daripada imbasan mendapati terdapat barangan mencurigakan di dalam kontena, bagaimanapun hasil semakan pada dokumen didapati diisytiharkan sebagai barangan lain seperti tisu.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas ketiga-tiga kontena itu terdapat sebanyak 9,000 kotak minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan nilai pasaran RM658,000 dan melibatkan anggaran jumlah cukai sebanyak RM910,000.

"Semua barangan terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara luar untuk pasaran tempatan," katanya kepada pemberita di Pelabuhan Sepanggar di sini pada Jumaat.

Julaiman bagaimanapun berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya.