Russel layak ke separuh akhir

Russel Alexander Nasir Taib - Foto Bernama
Russel Alexander Nasir Taib - Foto Bernama
A
A
A

PEMEGANG rekod 200 meter (m) kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib mencapai matlamatnya pada penampilan sulung di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila layak ke pusingan separuh akhir acara 200m lelaki pada Jumaat.

Russel yang berpangkalan di Australia merakamkan 21.13 saat (s) untuk muncul pelari kedua terpantas pada pusingan pertama saringan ketujuh di belakang pemenang dari Kenya, Kiviasi Asamba (20.76s) di Stadium Alexander.

Hanya dua pelari terpantas dalam setiap saringan layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun, pencapaian pelari berdarah kacukan Malaysia-Australia itu jauh daripada rekod kebangsaan 20.77s miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Klasik Queensland, Australia, pada 2019.

Atlet berusia 24 tahun itu menyifatkan prestasinya ‘berkarat’, memandangkan ini adalah aksi kompetitif pertamanya selepas kali terakhir menyertai kejohanan di Brisbane, Australia, Mac lalu.

"Saya berjaya menghuni tempat dua teratas dan matlamatnya adalah untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir, namun jelas catatan masa tidak sebaik seperti diidamkan.

"Sekarang saya telah mencapai matlamat dan apa-apa lagi yang lebih daripada itu akan menjadi bonus...sungguh menyeronokkan untuk mempunyai seorang wakil Malaysia di separuh akhir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di zon campuran di stadium berkenaan.

Selepas menempah slot separuh akhir, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2019 itu berharap untuk melakukan larian lebih pantas bagi memperbaiki rekod kebangsaannya serta berusaha untuk layak ke final.

Dalam pada itu, atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei, mara ke final pada penampilan sulungnya di temasya itu selepas mencatatkan lontaran 59.53 meter (m) pada saingan kelayakan Kumpulan A.

Juara Sukan SEA 2021 itu menduduki tempat ke-12 iaitu slot terakhir layak ke final, Sabtu ini (6 Ogos). - Bernama