AUG 2022: Thailand libas Malaysia di final

Nur Haziq melakukan hadangan ketika Malaysia berdepan Thailand dalam aksi final acara berpasukan di AUG 2022 pada Khamis.
Nur Haziq melakukan hadangan ketika Malaysia berdepan Thailand dalam aksi final acara berpasukan di AUG 2022 pada Khamis.
A
A
A

HASRAT kem takraw negara untuk menamatkan dominasi Thailand di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 tidak kesampaian apabila tewas 0-3 pada aksi akhir acara berpasukan di Sekolah Benjamamaharaj, Ubon Ratchathani, Thailand pada Khamis.

Thailand juara edisi Myanmar 2018 tampil dengan status pasukan pilihan mempamerkan aksi terbaik dengan variasi libasan gulung padu untuk menidakkan cabaran Malaysia.

Anak-anak buah dua bekas pemain kebangsaan Ahmad Sufi Mohamed Hashim dan Muhammad Zulkarnain Mohamed Arif juga gagal menyaingi keampuhan tiga regu tuan rumah.

Regu pertama negara Zuhri Zain (Najmi Syahfiq Anuar), Amir Syahiran Mohd Fuzi dan Muhamad Aiman Hakim Zahari tewas 13-21, 12-21.

Sandaran terhadap regu kedua negara untuk bangkit juga gagal diterjemahkan dalam bentuk keputusan positif apabila Faisal Fuad, Mohamad Nazhan Noor Azmi dan Nur Haziq Norali tewas 11-21, 12-21.

Bagaimana pun regu ketiga negara yang menampilkan Mohammad Imran Omar, Khairul Hafifi Tajudin dan Wan Muhammad Syazwan Wan Mohd Asri berjaya memberi tentangan sengit sebelum akur kekalahan 21-15, 13-21, 14-21.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada temasya AUG kali ini.

Anak-anak buah Ahmad Sufi dan Muhammad Zulkarnain akan meneruskan cabaran Malaysia dalam acara regu dan 'double' yang dijadualkan bermula pada Jumaat dan Sabtu.