1,246 pelajar tajaan Mara lanjut pengajian ke luar negara

Mahdzir sempat berswafoto bersama pelajar yang hadir selepas melancarkan Majlis Pra Pelepasan Pelajar Ke Luar Negara (Know Before You Go) di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mahdzir sempat berswafoto bersama pelajar yang hadir selepas melancarkan Majlis Pra Pelepasan Pelajar Ke Luar Negara (Know Before You Go) di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 1,246 pelajar cemerlang dipilih menerima tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi melanjutkan pengajian ke luar negara mulai September ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, seramai 690 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dan 217 ke Amerika Syarikat (AS).

“Mara akan terus menyediakan peruntukan bagi menaja pengajian pelajar cemerlang setiap tahun di bawah skim pinjaman boleh ubah bagi pengajian di dalam dan luar negara.

“Antara program penajaan yang ditawarkan adalah Young Talent Development Programme (YTP), Graduate Excellence Programme (GREP), Program Pembangunan Profesional (Pro-P), IPMA Excellent Students Programme (IESP) dan Mara Education Sponsorship Hybrid (MESH),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pra Pelepasan Pelajar Ke Luar Negara (Know Before You Go) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Mahdzir berkata, selain UK dan AS, Mara turut menghantar seramai 84 orang pelajar ke Rusia, Australia (66 orang), India (50 orang) dan Perancis (47 orang).

“Selain itu, Ireland (34 orang), Sepanyol (16 orang), New Zealand (15 orang), Belanda (tiga orang), Jordan (dua orang) dan Jerman, Sweden serta Korea Selatan masing-masing seorang pelajar.

“Kesemua pelajar berkenaan kini sedang menjalani program persiapan diri dan akan berlepas ke negara tersebut secara berperingkat bermula September depan,” katanya.

Jelasnya, Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan Mara ke luar negara (Know Before You Go) antaranya adalah bagi memberi pendedahan dan penerangan berkenaan urusan konsular oleh Bahagian Konsular Wisma Putra.

“Selain taklimat ancaman keselamatan dan ekstremis oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelajar turut diberikan taklimat berkaitan urusan di lapangan terbang, kewangan dan prosedur perlu dipatuhi semasa menjadi pelajar tajaan Mara di luar negara nanti.

“Kesemua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara adalah berdasarkan keputusan cemerlang semasa mengikuti pengajian persediaan seperti A-Level, International Baccalaureate, American Degree Transfer Program, Diploma, Foundation serta Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana,” katanya.

Difahamkan Mara kini mempunyai 3,229 orang pelajar tajaannya di 19 negara.

Kesemua mereka melanjutkan pengajian di 50 universiti terbaik dunia mengikut QS Ranking 2022 dan 20 terbaik mengikut kedudukan kursus yang ditawarkan.