'Saya mengaku tipu kerajaan, rakyat Pulau Pinang'- Zarul Ahmad

Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702. - Bernama
Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG) mengaku di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa beliau berbohong dalam artikel sebuah portal media bertajuk ‘It was like someone putting a gun to our heads’ yang disiarkan pada Julai 2018 lalu.

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 63, berkata demikian ketika prosiding bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan serta dua lagi kes menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu bernilai RM6.3 billion.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, artikel berkenaan adalah berhubung syarikatnya menerima ancaman daripada seseorang yang mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ya, dalam artikel itu saya menipu wartawan, pengurusan syarikat saya, kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng.

Gobind: Rujuk artikel itu, datuk ada sentuh mengenai seseorang yang mempunyai pengaruh dalam kerajaan ketika itu.

Zarul Ahmad: Betul.

Gobind: Siapa pemimpin kanan di Putrajaya, yang dimaksudkan?

Zarul Ahmad: Saya tidak diberitahu.

Artikel Berkaitan:

Gobind: Sudah lah, datuk sudah bersumpah dalam mahkamah tadi.

Zarul Ahmad: Saya tak ingat sebab ramai sangat yang ambil kesempatan, bukan sikit.

Gobind: Datuk, siapa pemimpin di Putrajaya yang datuk maksudkan itu?

Zarul Ahmad: Saya tidak dimaklumkan secara spesifik.

Gobind: Tapi Perdana Menteri masa itu ialah Datuk Seri Najib Razak.

Zarul Ahmad: Ya.

Selain itu, Zarul Ahmad berkata, beliau telah membayar sejumlah wang kerana Najib dikatakan memerlukan dana tersebut.

Gobind turut bertanyakan, siapakah orang tengah yang dimaksudkannya dalam artikel tersebut dan kontraktor itu menjawab, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menceritakan semula kejadian selepas direman selama 11 hari ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari 2018, Zarul Ahmad mendedahkan bahawa Guan Eng melakukan kesalahan rasuah.

Namun enam bulan kemudian, iaitu pada Julai 2018, saksi itu membuat sidang media dan menyatakan tiada elemen rasuah dalam kes terowong sebaliknya beliau telah menerima tekanan daripada pemimpin terdahulu.

Dalam berita tersebut, Zarul Ahmad berani untuk membuat pendedahan selepas pertukaran kerajaan ekoran kejatuhan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun ketika di mahkamah pada Khamis, saksi itu menukar semula keterangan tersebut dengan menyatakan bahawa pengakuannya pada Julai adalah satu pembohongan.

Gobind kemudian merujuk sebuah portal bertarikh 4 Mac 2019 dengan mempersoalkan kepada Zarul Ahmad mengapa beliau tidak mengemukakan artikel bertajuk 'Zenith: Dakwaan Raja Petra rekaan semata-mata' di mahkamah.

Zarul berkata, artikel itu hanyalah rekaan daripada Raja Petra dan tidak tahu perlu dikemukakan.

Ujarnya semua kenyataan artikel portal itu tidak benar.

Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Jumaat.