Chong Wei bangga pencapaian skuad badminton, Azeem

Skuad badminton negara meraikan kejayaan merangkul pingat emas pada perlawanan akhir acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022. - Foto Bernama
Skuad badminton negara meraikan kejayaan merangkul pingat emas pada perlawanan akhir acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022. - Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN skuad badminton negara merangkul pingat emas acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022 mendapat reaksi bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang berbangga dengan pencapaian itu.

Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, Chong Wei mengucapkan tahniah kepada skuad badminton negara atas kejayaan yang diraih di Pusat Pameran Nasional di Birmingham itu.

Malah menerusi hantaran berkenaan, pemain berusia 39 tahun itu mahu skuad negara mengekalkan momentum tersebut bagi mengharungi acara perseorangan yang dijadualkan bermula pada awal pagi Khamis.

“Impian kilauan pingat emas yang diburu-buru kontinjen badminton negara akhirnya dicapai awal pagi ini. Tahniah anda semua! Anda semua wira-wira negara!” katanya di laman Facebook berkenaan.

“Teruskan semangat ini untuk acara perseorangan. Nak dengar lagu Negaraku lagi berkumandang di tanah England tu. Congratulations Malaysia!!! You guys and girls made us so proud!,” katanya lagi.

Untuk rekod, skuad badminton negara menewaskan India 3-1 pada aksi final bagi acara berpasukan campuran di Pusat Pameran Nasional di Birmingham.

Mata pertama skuad negara diperoleh menerusi gandingan beregu nombor enam dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan beregu nombor lapan dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-15.

Kem negara cemas seketika apabila pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei tewas kepada pemain ranking ketujuh dunia, Pusarla Sindhu, 20-22, 17-21.

Bagaimanapun pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong mencipta sensasi apabila melakar kemenangan mengejut ke atas jaguh India, Kidambi Srikanth 21-19, 6-21, 21-16.

Rentak itu diteruskan gandingan Pearly Tan-M Thinaah apabila melengkapkan kemenangan mutlak negara dengan menewaskan beregu wanita India, Treesa Jolly-Gayatri Puella 21-18, 21-17.

Sementara itu, Chong Wei juga turut mengucapkan tahniah kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang memecahkan rekod 100 meter (m) kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada Selasa lalu.

Malah, Chong Wei turut menyifatkan catatan masa dicatatkan Muhammad Azeem bagi memecahkan rekod 100m kebangsaan itu sebagai terlalu laju.

“Tahniah gak (juga) M Azeem Fahmi yang memecahkan rekod 100m dengan catatan 10.09 saat. Laju gile bro!,” katanya.