Masalah brek punca lori rempuh lapan kenderaan

Sebanyak lapan kenderaan mengalami kerosakan akibat rempuhan sebuah lori yang dipercayai mengalami kegagalan sistem brek di Lebuhraya Puchong-Bukit Jalil pada Rabu.
Sebanyak lapan kenderaan mengalami kerosakan akibat rempuhan sebuah lori yang dipercayai mengalami kegagalan sistem brek di Lebuhraya Puchong-Bukit Jalil pada Rabu.
A
A
A

PUCHONG - Sebanyak lapan buah kenderaan mengalami pelbagai kerosakan akibat rempuhan daripada sebuah lori membawa muatan batu kerikil yang dipercayai mengalami kegagalan sistem brek di Lebuhraya Puchong-Bukit Jalil di sini pada Rabu.

Kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pengguna Facebook.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Izuddin Ab Wahab berkata, pemandu lori berusia 34 tahun berkenaan datang dari arah Bukit Jalil menghala Puchong sebelum hilang kawalan berhampiran sebuah pusat pameran kereta di sini sekitar jam 2 petang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai gagal memberhentikan kenderaannya lalu merempuh lapan kenderaan yang berada di hadapannya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Izuddin berkata, sewaktu kejadian, pergerakan trafik di lokasi kejadian perlahan berikutan kesesakan jalan raya.

Menurutnya, kemalangan tidak melibatkan kecederaan parah atau kematian.

"Ujian alkohol dan urin yang dijalankan terhadap pemandu lori terbabit didapati negatif.

"Pemandu lori telah ditahan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati pemandu lori warga tempatan itu mempunyai 13 rekod saman lampau, namun kesemuanya telah dijelaskan.