PH bincang keperluan bubar DUN NS serentak Parlimen

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti di peringkat negeri mengenai keperluan sama ada membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada masa terdekat.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu juga akan dibawa ke Majlis Presiden PH bagi menyatakan pandangannya.

"Di peringkat negeri saya akan bincang dengan rakan dalam PH untuk tentukan sama ada ikut atau tidak (bubar DUN serentak Parlimen).

"Kita tak terikat dengan Parlimen tetapi saya dah arahkan semua bersedia hadapi PRU15,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, pada Rabu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sedang persiapkan jentera selain beranggapan paling cepat (PRU15) diadakan dua bulan dari sekarang, hujung tahun ini atau awal tahun depan, bergantung kepada Perdana Menteri.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil dilaporkan berkata PH mempertimbang membubarkan tiga DUN di bawah pentadbirannya lebih awal bagi membolehkan pilihan raya dijalankan serentak dengan negeri lain.

Aminuddun juga sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan PH Negeri Sembilan bersedia untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRU15 jika Parlimen dibubarkan selepas Oktober depan seperti diramalkan beberapa pihak.